Jumaat, 11 September 2009

Kes bunuh bekas Ketua Wanita: 3 ditahan

BERNAMA


KUALA TERENGGANU: Polis hari ini menahan tiga lelaki disyaki terlibat dengan kes pembunuhan kejam bekas Ketua Wanita Umno Bahagian Felda Mengkawang, Asimah Abdul Rahman, 51, Selasa lepas.

Menurut Ketua Polis negeri Datuk Mohd Shukri Dahlan, hasil siasatan dan kecekapan polis, ketiga-tiga lelaki terbabit yang berumur antara 26 hinga 28 tahun berjaya ditahan dalam tempoh 63 jam selepas kejadian berlaku.

Beliau berkata, mereka ditahan di sebuah bangsal di belakang sebuah rumah di Felda Mengakawang, Hulu Terengganu kira-kira 5.10 pagi tadi.

"Dalam serbuan terbabit, polis turut merampas beberapa bahan bukti yang dipercayai dapat membantu siasatan berhubung kes bunuh tersebut," katanya kepada pemberita melalui khidmat pesanan ringkas di sini hari ini.

Ketiga-tiga lelaki berkenaan ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini dan polis percaya dengan penahanan itu polis berjaya menyelesaikan kes tersebut.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang Selasa lepas, Asimah ditemui mati dibunuh dengan kejam dengan terdapat 11 kesan tikaman di badannya yang turut menyebabkan usus mangsa terburai.

Mayat mangsa yang juga Pengerusi Gabungan Pergerakan Wanita Umno Felda Wilayah Terengganu, ditemui dalam keadaan terlentang berlumuran darah di ruang tamu rumahnya oleh jirannya.

Tiada ulasan: