Isnin, 7 September 2009

Kerajaan sedia bantu bawa pulang jenazah Mariam

Wisma Putra boleh uruskan jika ada permintaan daripada keluarga waris

Oleh Azida Shaharuddin dan Ifwan Tun Tuah


KUALA LUMPUR: Wisma Putra sedia membantu membawa pulang jenazah Mariam Johari, 88, jika ada permintaan dari keluarganya di Malaysia, kata Timbalan Menteri Luar, Senator A Kohilan Pillai.

Beliau berkata, sebarang keputusan bergantung kepada warisnya sama ada mahu membawa pulang jenazah wanita itu ke tanah air atau dikebumikan di Korea Selatan.

"Saya difahamkan, Mariam meninggalkan wasiat supaya dikebumikan di negara itu selepas beliau meninggal dunia. Ia diberitahu kepada anggota keluarganya ketika kali pertama pulang ke tanah air pada 2007 selepas 64 tahun berhijrah di Korea.

"Beliau turut meminta supaya dikebumikan mengikut adat masyarakat Korea kerana sudah terlalu lama menetap di sana, malah sudah sebati dengan cara hidup dan adat budaya negara itu," katanya kepada Berita Harian.

Sementara itu, penyelidik Korea Broadcasting System (KBS), Seo Kyu Won, berkata Mariam pernah menyuarakan hasrat untuk pulang ke Johor bagi menyambut Ramadan dan Aidilfitri bersama anak-anaknya.
KERATAN akhbar Berita Harian yang menyiarkan berita kepulangan Mariam ke tanah air pada 5 September 2007.

Beliau berkata, hasrat itu disuarakan Mariam ketika ditemui di Hospital Perbandaran Dong-Bu, Seoul.

"Mariam mengatakan keinginannya untuk pulang bersama keluarga buat kali terakhir, tapi saya tidak tahu sama ada dia sedar atau tidak Ramadan dan Aidilfitri bakal menjelma, namun dia memang berharap untuk pulang kali terakhir untuk bersama keluarganya di Malaysia, walaupun tahu kesihatannya bertambah buruk.

"Bagaimanapun, selepas bertahan sekian lama beliau akhirnya meninggal dunia pada jam 1.20 pagi tadi (waktu Korea Selatan) ketika tidur," katanya.

Seo berkata, ketika menghembuskan nafas terakhirnya, Mariam ditemani anak angkat, Ji Yong Un, 53, isterinya, Shin Sook Hyun, 51 dan penerbit rancangan Love In Asia KBS, Park Keon Young.

Katanya, jenazah Mariam berada dalam jagaan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selama tiga hari hingga esok sementara menunggu keputusan sama ada keluarganya di Malaysia mahu membawa pulang atau tidak.

Tiada ulasan: