Jumaat, 11 September 2009

Kerajaan Pusat setuju bina pelabuhan - Nik Aziz

UTUSAN ONLINE


KOTA BHARU - Kerajaan Pusat bersetuju untuk membina sebuah pelabuhan di Semerak, Tok Bali dekat sini di bawah pelan pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Kerajaan negeri menyifatkan persetujuan tersebut membuktikan Kerajaan Pusat memberikan kerjasama yang terbaik kepada Kelantan di sebalik pelbagai kontroversi yang melanda sebelum ini.

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pihaknya telah dimaklumkan oleh Kerajaan Pusat mengenai persetujuan tersebut dan telah menyediakan tanah di kawasan berkenaan untuk pembinaan projek itu.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadualkan menghadiri majlis pecah tanah pelabuhan berkenaan yang belum ditentukan tarikhnya.

''Kerajaan Pusat bersetuju dengan cadangan kita untuk membina pelabuhan di Semerak, Tok Bali dan saya telah menulis surat menjemput Perdana Menteri datang ke majlis pecah tanah pelabuhan ini.

''Kita telah sediakan tanah di kawasan berkenaan dan pada masa ini sedang menunggu tarikh dari pejabat Perdana Menteri untuk adakan majlis pecah tanah ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis perasmian pecah tanah pembinaan kilang paip besi keluli di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa II di sini hari ini.

Kilang tersebut merupakan satu-satunya kilang pengeluaran paip jenis besi keluli di Pantai Timur dan mampu mencapai pengeluaran di antara 15,000 sehingga 20,000 tan metrik setahun apabila beroperasi pada pertengahan tahun depan.

Sebelum ini, kerajaan mencadangkan supaya sebuah pelabuhan dibina di Tumpat bagi membantu membangunkan negeri ini.

Nik Abdul Aziz bagaimanapun tidak memberitahu kos serta maklumat lanjut mengenai pembinaan pelabuhan tersebut.

''Ini menunjukkan kerjasama di antara kerajaan (Pusat) dengan kerajaan (negeri) berjalan dengan baik tanpa membabitkan perbezaan parti politik,'' katanya.

Tiada ulasan: