Selasa, 8 September 2009

Kerajaan jamin tidak tapis Internet

UTUSAN ONLINE


PUTRAJAYA - Kerajaan akan terus mengekalkan peruntukan undang-undang sedia ada untuk tidak menapis kandungan Internet, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bagaimanapun Perdana Menteri mengingatkan ia tidak bermakna kebebasan untuk bersuara menjadi hak mutlak mana-mana pihak.

Sebaliknya, tegas beliau, ia perlu dilakukan dengan penuh tanggungjawab.

"Seksyen 3(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 menyediakan jaminan bahawa tiada tapisan untuk Internet.

"Peruntukan-peruntukan ini akan sentiasa dikekalkan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Teknologi Maklumat Kebangsaan (NITC) di sini hari ini.

Najib turut melancarkan portal NITC yang menyediakan maklumat berkaitan perkembangan teknologi komunikasi maklumat (ICT) di peringkat tempatan dan global.

Menurut Perdana Menteri, mesyuarat tersebut bersetuju menubuhkan kumpulan kerja bagi tiga bidang teras, iaitu e-Kedaulatan, sumber pembangunan baru dan penyertaan sosial digital.

Jelasnya, bidang e-Kedaulatan menyentuh tentang aspek-aspek perlindungan, promosi, pendidikan dan pemeliharaan.

"Sumber pembangunan baru pula mencakupi e-Ekonomi, industri kandungan multimedia kreatif, e-Pertanian dan e-Perkhidmatan.

"Kandungan bagi penyertaan sosial digital pula termasuk program-program untuk mengurangkan jurang digital," ujarnya.

Terdahulu dalam ucapannya, Najib berkata, meskipun kemudahan percuma secara komprehensif boleh diagihkan secara adil kepada semua rakyat, ia tidak menjamin masyarakat akan menggunakan sepenuhnya ICT.

Beliau menambah, akan terdapat golongan masyarakat yang tidak mahu menerima teknologi moden kerana pelbagai alasan termasuk sikap tidak puas hati dan tidak sanggup mengubah cara hidup.

Katanya, pencapaian kepada maklumat tanpa sempadan akan terus kekal dinikmati oleh golongan tertentu dalam masyarakat.

"Kita boleh mendapat kemudahan ICT terbaik tetapi ia tidak berguna jika ada individu tidak melihat nilai tinggi yang boleh didapati sama ada dalam kehidupan, pekerjaan atau aktiviti harian lain," katanya.

Tiada ulasan: