Isnin, 21 September 2009

Kepimpinan Umno lemah, terpaksa minta tolong Dr M

Abdul Aziz Mustafa


KUALA LUMPUR - Kepimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) kini terbukti paling lemah dalam sejarah apabila terpaksa mendapatkan khidmat Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum berani membuat keputusan, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Memang pemimpin tertinggi Umno hari ini paling lemah dalam sejarah. Contohnya dalam isu calon (pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri) Bagan Pinang, (Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) dan (timbalannya, Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) tak berani langsung hendak menyatakan mereka tak mahu (Ketua Umno Bahagian Telok Kemang, Tan Sri Mohd) Isa (Abdul Samad).

"Pemimpin-pemimpin Umno yang paling lemah dalam sejarah itu terpaksa memperalatkan keberanian Dr Mahathir," kata beliau.

Bekas Perdana Menteri sebelum ini mengingatkan Umno dan BN supaya jangan meletakkan Mohd Isa sebagai calon di Bagan Pinang kerana bekas Naib Presiden Umno itu pernah disabitkan dengan kesalahan politik wang.

Mohd Isa digantung keahliannya di dalam Umno selama tiga tahun pada 2005 lalu kerana kesalahan tersebut.

Walau bagaimanapun, Mahfuz mengucapkan tahniah kepada para pemimpin Umno kerana selepas ini mereka mempunyai alasan untuk menolak Mohd Isa sebagai calon di Bagan Pinang.

"Tahniahlah sebab pemimpin Umno sudah dibantu oleh bekas presiden parti mereka untuk menghadapi Isa.

"Ketika mereka kelihatan begitu takut untuk menyatakan pandangan mereka mengenai Isa, tiba-tiba Dr Mahathir memberikan mereka alasan untuk menolak Isa.

"Selepas ini bolehlah Presiden dan ahli-ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno tidur lena. Ada Dr Mahathir tolong buat kerja untuk mereka," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Beliau bagaimanapun menjangkan Mohd Isa tidak akan berdiam diri jika beliau merasa dimangsakan.

"Bagi Isa, jika (Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd) Ali Rustam yang juga dihukum kerana kesalahan politik wang boleh mengekalkan kedudukannya sebagai Ketua Menteri malah dilantik pula sebagai Ahli MT, mengapa pula beliau tidak boleh menjadi calon di Bagan Pinang.

"Sedangkan, kedudukan sebagai Ketua Menteri dan Ahli MT jauh lebih tinggi berbanding kedudukan sebagai calon BN di Bagan Pinang," kata beliau.

Mohd Isa juga, kata Mahfuz, tentu melihat pilihan raya kecil Bagan Pinang boleh menjadi "pusat pemulihan" kepada kerjaya politiknya jika beliau dipilih sebagai calon BN dalam pilihan raya itu.

"Apabila kerjaya politiknya telah dipulihkan, Isa yang sebelum digantung merupakan Naib Presiden Umno paling kanan tentu mahu mendapatkan kedudukan sebagai Timbalan Presiden Umno yang sepatutnya boleh beliau menangi jika bertanding kalau tidak digantung keahliannya sebelum ini," kata beliau.

Jika pilihan raya kecil Bagan Pinang dapat dijadikan pusat pemulihan kepada kerjaya politik Mohd Isa, kata Mahfuz lagi, beliau mungkin akan menggerakkan tindakan mencabar kedudukan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden Umno.

"Barangkali untuk menjauhkan pertembungan seperti itulah yang menyebabkan Timbalan Perdana Menteri tidak berani bercakap terus-terang untuk menolak Isa dan sifat vokal Dr Mahathir mesti mereka peralatkan," katanya.

Ketika menolak Mohd Isa sebagai calon BN di Bagan Pinang, Dr Mahathir berkata, imej Umno akan terjejas jika bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu dicalonkan kerana dianggap tidak serius dalam memerangi politik wang sekiranya masih meletakkan mereka yang sudah didapati bersalah dalam rasuah politik sebagai calon.

"Isa sudah didapati bersalah, kalau Umno letak dia juga bermakna bahawa Umno tak ambil berat tentang kes-kes macam ini," kata beliau.

Bekas Bendahari Umno, Tengku Razaleigh Hamzah pula menasihatkan Umno supaya mengambil iktibar daripada keputusan pilihanraya kecil Permatang Pasir, dalam memilih calon yang sesuai bagi mempertahankan kerusi DUN Bagan Pinang.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, pembangkang telah memenangi tujuh pilihanraya kecil di Semenanjung Malaysia selepas pilihanraya umum tahun lalu.

"Umno bertanding dalam enam pilihanraya kecil dan kalah semuanya. Kini tidak siapa yang boleh meragui bahawa rasa tidak puashati rakyat terhadap BN yang mengakibatkannya ia kehilangan lima negeri dan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, masih belum pulih," tulis Tengku Razaleigh dalam blognya.

Menurutnya, punca rasa tidak puashati rakyat terhadap BN itu adalah persepsi bahawa mereka yang memegang kuasa adalah angkuh dan korup.

Pemilihan calon yang dibatalkan lesen guamannya sebagai calon BN di Permatang Pasir serta mengenepikan bantahan terhadap pemilihannya, telah mengesahkan persepsi tersebut, katanya lagi.

Bagan Pinang mempunyai 13,664 orang pengundi dan 4,604 dari jumlah tersebut adalah pengundi pos. _

Tiada ulasan: