Selasa, 15 September 2009

Kalungan selipar: MIC gantung perwakilan kecam Mahathir

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


PETALING JAYA: Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu menggantung keahlian seorang perwakilan parti itu yang mencadangkan supaya kalungan selipar diletakkan pada gambar bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, kelmarin.

Tindakan itu berkuat kuasa serta-merta sementara menunggu syor Jawatankuasa Disiplin parti yang bakal dibentuk kelak.

Tempoh hukuman gantung itu tidak dinyatakan.

"Saya berharap dengan tindakan ini isu ini akan selesai," kata Samy Vellu dalam kenyataan ringkasnya hari ini.

Samy Vellu menambah, beliau juga telah mengadakan perbincangan dengan beberapa pemimpin kanan parti itu yang turut bersetuju agar perwakilan berkenaan digantung.

Dia merupakan seorang daripada dua perwakilan yang mengkritik Dr. Mahathir sambil menyifatkannya mencampuri urusan MIC. Semalam Samy Vellu berkata, beliau amat kesal dengan kenyataan perwakilan itu dan akan dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin parti.

Dalam kenyataannya semalam Samy Vellu menjelaskan, beliau telah meminta perwakilan itu menghentikan ucapannya sebaik sahaja mengeluarkan kenyataan tersebut berikutan pandangan bekas Presiden Umno itu yang didakwa mencampuri urusan dalaman MIC. Bagaimanapun, katanya, arahannya supaya perwakilan berkenaan menghentikan tindakannya itu tidak dilaporkan oleh media. Saranan perwakilan itu yang mengundang reaksi pelbagai pihak.

Pemuda Umno telah menyifatkannya sebagai biadap. Murutnya, beliau telah memberitahu perwakilan pada perhimpunan agung itu supaya memberi penghormatan tertinggi kepada Dr. Mahathir yang telah banyak berjasa kepada negara. Minggu lepas, Dr. Mahathir telah memberi pandangannya mengenai parti itu, Samy Vellu dan bekas timbalan presiden Datuk S. Subramaniam yang bertanding merebut jawatan nombor dua parti pada perhimpunan agung itu. Bagaimanapun, pandangan Dr. Mahathir itu tidak disenangi oleh perwakilan parti dan Samy Vellu sendiri.

Tiada ulasan: