Jumaat, 18 September 2009

Jualan kenderaan Ogos naik 2.8 peratus

BERNAMA


KUALA LUMPUR - Jualan kereta penumpang dan komersial pada bulan Ogos meningkat 2.8 peratus tahun ke tahun kepada 48,538 buah tetapi merosot 3,390 buah atau 6.5 peratus berbanding dengan bulan Julai tahun ini.

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) berkata, kemerosotan bulan ke bulan itu adalah berikutan jualan lebih rendah yang dicatatkan Proton.

Katanya, jualan kenderaan penumpang pada Ogos meningkat kepada 44,099 buah daripada 42,864 buah pada bulan yang sama tahun lepas manakala jualan kenderaan komersial meningkat kepada 4,439 buah daripada 4,363 buah.

Bagi tempoh lapan bulan hingga Ogos tahun ini, jumlah jualan industri turun kepada 351,550 buah daripada 379,184 buah pada tempoh yang sama tahun lepas.

Katanya, jualan kenderaan penumpang bagi tempoh lapan bulan itu turun kepada 319,424 buah daripada 345,917 buah pada tempoh yang sama tahun lepas.

Jualan kenderaan komersial merosot kepada 32,126 buah daripada 33,267 buah sebelum ini.

MAA berkata, pengeluaran kenderaan pada Ogos turun kepada 44,476 buah daripada 46,316 buah pada tempoh yang sama tahun lepas.

Persatuan itu juga berkata pengeluaran kenderaan penumpang pada Ogos turun kepada 40,865 buah daripada 42,309 buah pada tempoh yang sama tahun lepas manakala kenderaan komersial merosot kepada 3,611 buah daripada 4,007 buah.

Menurutnya, pengeluaran kenderaan penumpang pada tempoh lapan bulan itu merosot kepada 293,175 buah daripada 329,557 buah yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lepas manakala kenderaan komersil merosot kepada 28,216 buah daripada 31,512 buah.

MAA berkata, jumlah jualan bagi September dijangka dikekalkan kerana ia merupakan bulan bekerja yang singkat berikutan cuti perayaan hari raya.

Tiada ulasan: