Selasa, 22 September 2009

J/K pusat MCA bukan 'rubber stamp'

MALAYSIA KINI


Anggota Jawatankuasa Pusat (CC) MCA Datuk Ti Lian Ker hari ini mempertahankan keputusan jawatankuasa berhubung kes Datuk Dr Chua Soi Lek.

"Adalah malang bagi Jawatankuasa Pusat dihina dan dianggap sebagai rubber stamp, selepas Jawatankuasa Pusat itu mengubah keputusan Majlis Presiden berhubung cadangan yang dikemukakan Lembaga Disiplin," katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Bernama..

Beliau merujuk keputusan Sabtu lepas yang dibuat jawatankuasa pusat apabila menukar keputusan pemecatan Dr Chua daripada parti kepada menggantung timbalan presiden itu selama empat tahun.

Ti, yang juga Pengerusi Perhubungan badan bukan kerajaan parti itu, berkata menurut Artikel 47 perlembagaan MCA dengan jelas menyatakan Majlis Presiden bertanggungjawab kepada Jawatankuasa Pusat.

"Sehubungan itu, jawatankuasa pusat berdasarkan kuasa yang ada mempunyai hak untuk menyemak, menilai atau membatalkan sebarang keputusan Majlis Presiden," tegasnya.

Katanya Jawatankuasa Pusat tidak boleh dinafikan haknya dan bertanggungjawab di atas setiap keputusan yang dibuat lembaga disiplin atau majlis presiden "dengan rayuan atau tanpa rayuan" daripada pegawai parti atau anggota Jawatankuasa Pusat.

Dr Chua dan penyokongnya menuduh jawatankuasa pusat menyalahgunakan kuasanya, dengan mendakwa ia telah memperlekehkan mesyuarat agung luar biasa akan datang yang akan membahaskan usul tidak percaya terhadap kepimpinan presiden parti Datuk Seri Ong Tee Keat dan mengembalikan semula jawatan Dr Chua.

Tiada ulasan: