Jumaat, 4 September 2009

Jawatankuasa rumah ibadat bukan Islam jangan dipengerusikan orang politik

BERNAMA


TANJONG KARANG: Jawatankuasa rumah ibadat selain Islam di Selangor tidak harus dipengerusikan oleh orang politik kerana dikhuatiri akan meletakkan kepentingan politik melebihi sensitiviti kaum dalam menangani hal ehwal rumah ibadat di negeri ini.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Noh Omar berkata adalah lebih sesuai jika Setiausaha Kerajaan Negeri mempengerusikan jawatankuasa berkenaan kerana beliau tidak mempunyai kepentingan politik dan akan menjaga kepentingan dan sensitiviti semua kaum dan agama.

"Hari ini, di kerajaan Selangor, saya lihat exco kerajaan negeri dari kalangan bukan Melayu yang memegang jawatan politik (Dr Xavier Jayakumar dari Parti Keadilan Rakyat) mempengerusikan jawatankuasa rumah ibadat bukan Islam.

"Jadi, kalau orang politik jadi pengerusi, apa jua (tindakan) yang dibuat, akan pasti dipengaruhi oleh fahaman politik (masingmasing). Ini yang berlaku di Selangor," kata beliau kepada pemberita selepas menyampaikan alat tulis kepada pelajar-pelajar yang bakal menduduki Peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2009 di Sekolah Kebangsaan Seri Tiram di sini, semalam.

Noh berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Kerajaan Selangor memindahkan sebuah Kuil Hindu dari Seksyen 19 ke Seksyen 23 di Shah Alam yang mendapat bantahan penduduk di kawasan itu.

Akhbar semalam melaporkan bahawa Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, mencari jalan terbaik bagi menyelesaikan isu kuil itu bagi mengelak perselisihan kaum.

Isu tersebut bermula apabila penduduk di Seksyen 23 membantah cadangan pembinaan kuil di kawasan mereka yang majoritinya beragama Islam berbanding hanya 40 penganut Hindu.

Ekoran tiada jaminan daripada kerajaan negeri untuk membatalkan cadangan itu, kira-kira 200 penduduk bertindak mengadakan perhimpunan selepas solat Jumaat minggu lalu bagi menyatakan bantahan.

Keadaan bagaimanapun bertukar kecoh serta menjadi kontroversi apabila ada kalangan mereka yang menyertai perhimpunan itu membawa kepala lembu ketika berarak ke bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Shah Alam.

Noh turut mengkritik kelemahan dan ketidakcekapan kerajaan campuran Selangor sehingga memerlukan nasihat dan teguran Sultan Selangor bagi menangani isu kuil.

"Saya nak beritahu kepada MB Selangor, kalau nak cari tapak kuil pun tak erti, berhentilah jadi MB. Memorandum bantahan (pemindahan kuil) telah dihantar ke pejabat Menteri Besar sejak Mei lepas, namun tiada sebarang tindakan diambil setakat ini," katanya.

Noh juga berkata pihaknya sedia membantu mencari tapak sesuai yang dapat diterima semua pihak untuk memindahkan kuil itu.

Katanya, beliau akan menghadiri satu perjumpaan yang dianjurkan bersama oleh Jawatankuasa Bertindak Pembantahan Kuil itu dan sebuah Persatuan India di Shah Alam, esok (hari ini).

Tiada ulasan: