Rabu, 9 September 2009

Isu Penan : Laporan Tidak Lengkap, Kementerian Shahrizat Dibidas

TV ANTARA


Laporan siasatan rogol dan penderaan seksual melibatkan wanita Penan yang disediakan Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat ibarat melepaskan batuk ditangga dan langsung tidak memperuntukkan langkah yang spesifik untuk menanganinya.

Ketua Wanita Keadilan, Zuraida Kamaruddin menyatakan demikian sebaik sahaja pihaknya mendapatkan laporan yang sebelum ini seolah- olah mahu disembunyikan oleh pihak kementerian yang dikepalai Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Namun penantian Zuraida dan beberapa NGO berkenaan wanita, sia- sia sahaja apabila laporan yang mereka nanti- nantikan tidak lengkap dan lompang disana- sini.

"Kita tidak dapat terima laporan ini. Tidak ada perancangan yang spesifik. Hanya cadangan mahu tambah sekolah, tambah guru. Mereka tidak sediakan perancangan yang khusus. Dalam masa terdekat bulan Oktober atau November, kementerian ini langsung tidak ada apa- apa perancangan mahupun peruntukan," kata Zuraida.

Kes rogol melibatkan kaum Penan ini dikesan sejak 1993 namun tiada sebarang tindakan yang diambil meskipun laporan polis telah dibuat.

Pada tahun 2000, perjumpaan diadakan dengan Suruhanjaya Hak Asasai Manusia SUHAKAM. Beberapa Tuai Rumah dan NGO telah menghadiri sesi perjumpaan tersebut tetapi tiada tindakan lanjut diambil selepas itu.

Tahun lepas sahaja seramai 11 wanita Penan telah dikenalpasti dirogol oleh pembalak di Baram. Tiada yang berani menerbitkan kes tersebut kerana dipercayai ada 'tangan-tangan tertentu' yang menghalang.

Kerajaan diharapkan untuk menghulurkan bantuan dengan penubuhan jawatankuasa siasatan keatas masalah masyarakat Penan, namun kementerian dibidas kerana tidak memperincikan langkah-langkah susulan sewajarnya.

Zuraida mempersoalkan mengapa perlu menunggu nasi menjadi bubur, walhal banyak langkah- langkah progresif yang boleh diambil bagi membela nasib wanita Penan ini.

"Tidak ada langsung langkah- langkah untuk mengesan penjenayah yang terlibat. Tidak ada cadangan untuk institusi polis. Cadangan untuk institusi kesihatan ada tetapi hanya menganjurkan program penerangan dan langkah- langkah yang perlu diambil selepas dirogol. Cadangan untuk sekolah pula hanya melibatkan penambahan guru dan kegiatan kokurikulum sahaja," ujar Zuraida lagi.

Malaysia sebagai negara yang menyertai Program Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) dan menandatangani Deklarasi Hak Pribumi Bangsa- Bangsa Bersatu PBB seharusnya mengambil langkah progresif dalam membela nasib kaum pribumi ini.

Wanita Keadilan mengecam sekeras-kerasnya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan juga kerajaan Sarawak atas sikap sambil lewa atas perkara serius ini.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan sebelum lebih ramai kaum pribumi ini menjadi mangsa penderaan seks.

Tiada ulasan: