Isnin, 14 September 2009

Isu Kg Buah Pala: Pemaju buat tawaran terakhir, roboh baki 11 rumah lagi

MSTAR ONLINE


GEORGETOWN: Pemaju kepada projek pembangunan Kampung Buah Pala hari ini menawarkan pampasan berjumlah RM125,000 kepada penduduk kampung yang membuat keputusan untuk menolak tawaran rumah baru kepada mereka.

Bagaimanapun dalam perkembangan berasingan, sejumlah 11 buah rumah yang masih kekal di situ telah pun dirobohkan menjelang jam 2.20 petang ini.

Kerja-kerja meroboh saki baki rumah yang masih berpenghuni di kampung itu bermula pada jam 11 pagi.

Namun begitu 50 minit kemudian ketika jentolak cuba merobohkan rumah ketiga, penghuni rumah tersebut R. Indrani, 60, telah menyimbah dirinya dengan kerosen dan cuba membakar diri.

Tindakan pantas ahli keluarga dan orang-ramai berjaya menghalang dia daripada meneruskan percubaan membakar diri itu.

Indrani kelihatan menjerit “aku tinggal di sini sepanjang hidup aku...”

Sebelum itu, ketika kerja-kerja meroboh sedang dijalankan, sejumlah 50 orang yang terdiri daripada penghuni kampung tersebut dan juga orang-ramai kelihatan berdiri melihat tanpa menghalang pihak pemaju daripada meneruskan kerja mereka.

Pada jam 11.30 pagi, Pengarah Eksekutif Nusmetro Ventures (P) Sdn Bhd Gary Ho, memberitahu para pemberita, mana-mana penduduk yang membuat keputusan untuk tidak menerima tawaran rumah teres dua tingkat yang ditawarkan pemaju boleh berunding dengan pihaknya berkenaan tawaran kedua iaitu wang tunai berjumlah RM125,000.

Sebaliknya jika mereka mahu menerima tawaran pampasan dalam bentuk rumah, mereka perlu membuat permohonan melalui Kerajaan Negeri.

“Hari ini semua rumah akan dirobohkan dan kerja-kerja pembinaan akan bermula selepas Hari Raya Aidil Fitri,” katanya.

Turut hadir di kampung tersebut ialah wakil daripada mahkamah, pihak polis dan juga pemaju.

Ini adalah percubaan ketiga selepas dua percubaan untuk meroboh rumah-rumah di kampung tersebut gagal dilakukan. Pada 4 September lalu, pihak pemaju hanya berjaya merobohkan empat buah rumah sebelum berlaku kekecohan dan halangan sehingga menyebabkan kerja-kerja tersebut terhenti.

Usaha penduduk Kampung Buah Pala untuk mempertahankan kampung seluas 2.6 hektar itu secara teorinya berakhir pada 20 Ogos lalu apabila mahkamah tertinggi negara iaitu Mahkamah Persekutuan menolak permohonan rayuan daripada 23 keluarga untuk terus kekal di situ dan mengarahkan mereka supaya mengosongkan rumah masing-masing pada 1 September.

Ramai penduduk kampung yang telah menerima tawaran rumah teres dua tingkat tetapi masih terdapat 11 lagi rumah yang masih berkeras dan enggan mengosongkan rumah mereka sehinggalah kerja-kerja meroboh diteruskan juga pagi tadi.

Tiada ulasan: