Khamis, 17 September 2009

Hari Malaysia: Hari kegelapan!

Oleh : Ooi Heng


Lapan pilihan raya kecil selepas 8 Mac 2008 mengulangi kenyataan bahawa keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 bukan pilihan jutaan pengundi secara "kebetulan", tetapi hasil daripada proses peralihan masyarakat yang membanggakan. Kini, warga Malaysia bukan sahaja membanting tulang untuk masa depan individu, tetapi juga memberi makna kepada 16 September, Hari Malaysia yang sarat dengan erti sejarah.

Keputusan PRK lalu menunjukkan bahawa "pengundi muda" antara usia 21 hingga 50 tahun berkecenderung untuk mengundi Pakatan Rakyat. Walaupun PRK DUN Batang Ai menyaksikan ketewasan PR, namun analisa keputusan tetap memperlihatkan trend yang sama. BN memperolehi 54% undi di Batang Ai, berbanding PR yang hanya memperolehi 46% undi. Tetapi, PR berjaya mendapat 30% undi golongan muda, sementara BN hanya mendapat 28% sokongan pengundi muda.

Kebanyakan "pengundi muda" yang dimaksudkan ialah kelas pekerja, yang berkeluarga dan berkerjaya. Golongan ini berdepan dengan tekanan hidup yang meningkat, lantaran ekonomi yang merudum -- satu fenomena yang berpunca daripada rejim pemerintah yang korup. Golongan ini dikategori sebagai kelas pertengahan yang berlagak segak, tetapi merana kerana tekanan hidup yang membebankan.

Menurut analisa kerajaan, daripada 27 juta populasi, dengan purata satu keluarga terdiri daripada 4 hingga 5 orang anggota, maka negara ini mempunyai 5.70 juta keluarga. Inilah jawapan yang diperolehi oleh ahli parlimen Sungai Siput, Jeyakumar Deveraj di Dewan Rakyat.

Yang lebih menakjubkan, daripada 5.70 juta keluarga ini, sebanyak 56.8%, iaitu kira-kira 3.24 juta keluarga yang pendapatan bulanannya tidak melebihi RM 3000. Mereka mungkin menyara hidup keluarga bertiga dengan RM 3000 sebulan, malah mungkin keluarga berlima dengan RM 2000 sebulan... usahlah saya lanjutkan pengalaman yang lebih pilu di sini.

Rejim pemerintah yang korup

Apabila kerajaan menjadi lembap, maka tugas menegakkan benang diserahkan kepada sektor swasta. Kini, terdapat 10 juta orang pemilik kad kredit di Malaysia. Malah, antara 10 pemilik kad kredit, hanya tiga orang mengekalkan rekod yang baik ketika membayar hutang. Yang selebihnya? Seperti yang sedia maklum, kata ganti untuk "tangguh" itu berbunyi "tunggakan hutang".

Kerajaan yang korup, penguatkuasaan yang tidak berfungsi, maka kad kredit sebagai ubat penahan sakit digunakan untuk meredakan tekanan ekonomi. Namun, sekiranya tunggakan hutang kad kredit melewati batasnya, bagaimana kita menghentikan darah yang mengalir?

Kita sudi menerima nasihat pakar pengurus kewangan seandainya kita dituduh gagal menguruskan wang. Namun, bagaimana pula apabila parti pemerintah mendakwa bahawa 3.24 juta keluarga tidak celik menguruskan perbelanjaan, dan tidak kena-mengena dengan dasar kerajaan?

Kita perlu memilih jalan kita sendiri. Kerajaan yang terasing dari realiti masyarakat, gagal memenuhi keperluan peralihan masyarakat, perlu diberi peluang supaya mereka belajar untuk "mengkritik diri sendiri", dibiarkan menjadi pembangkang, sehingga mereka belajar sesuatu, barulah diberi semula peluangnya untuk memerintah. Sistem dua parti bukan sekadar demokrasi, tetapi juga dilanjutkan kepada nasi periuk rakyat, masalah rakyat dan suara rakyat.

Pemerintah yang berniat untuk menjadikan kuasa daulah sebagai satu-satunya lembaga yang mendefinasikan "demokrasi" dan "suara rakyat", adalah pemerintah yang cuba mengamalkan dasar memperbodohkan rakyat; atau cuba menjadikan "state violent" sebagai asas legitimasi untuk terus memerintah.

Internet telah memberi ruang bersuara kepada kita untuk melepaskan tekanan daripada hutang kad kredit. Tetapi, Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan yang maha-besar, Rais Yatim pula bertanggapan, "ancaman siber ini sebenarnya lebih dahsyat dari komunis dan pengganas kerana ia boleh 'masuk' ke bilik tidur, kamar dan pemikiran generasi muda."

Pengguna internet ialah komunis?

Kita masih perlu meneruskan jalan pilihan kita sendiri. Perdebatan sistem dua parti yang tercetus daripada tsunami politik 8 Mac, bukan hanya terbatas kepada lontaran kritikan untuk menggesa peralihan kuasa. Kita perlu memantapkan masyarakat sivil dan menghakis kuasa negara. Kita perlu bersuara untuk diri kita, dan bukannya dicencang dan digiling jentera negara.

Semasa Mahathir membidas "Dong Jiao Zong sebagai komunis", mungkin kita masih tercari-cari alasan untuk mempertahankan Dong Jiao Zong. Kali ini, alam siber pula dilabel sebagai parti komunis, pelayar laman web menjadi komunis, maka kita perlu menolak tindakan Rais Yatim mencencang pengguna internet atas nama Negara.

Masyarakat dalam peralihan semestinya berdepan dengan serangan balik daripada regim pemerintah yang korup. Sudahlah kita diderita kesengsaraan hidup, kini kita dipaksa pula untuk berpeluk tubuh dan mendiamkan diri atas nama Negara?

Masyarakat yang maju semestinya diiringi peningkatan permintaan terhadap kualiti hidup rakyat. Menyara hidup sekeluarga dengan RM3000 sebulan telah menjejaskan impian hidup yang diidam-idamkan oleh "kelas miskin baru". Seandainya kemudahan internet yang dibawa kecanggihan teknologi juga ditapis pihak berkuasa, barulah infomasi dapat disebarkan seperti media tradisional dan diterima audiens, ini bukan sahaja menghina suara rakyat, tetapi juga menonjolkan keangkuhan pihak berkuasa. Ia memerlukan tsunami politik yang kedua untuk menyedarkan mereka.

"1Malaysia" hanya memperlihatkan "talam dua muka" sehingga kini. Pada detik saat perebahan "sistem dominasi satu parti", pemerintah yang berkuasa semestinya akan menyerang balik. Serangan ini bukan sahaja mensasarkan Pakatan Rakyat, tetapi juga menuju ke arah medan siber yang menjadi lambang perubahan.

Hari Malaysia baru sahaja berlalu. Pada ambang ulangtahun ke-46 ini, kita perlu tabah mengharungi jalan pilihan kita.

*Ooi Heng ialah penganalisa politik. Artikel ini ditulis dalam bahasa Cina, diterjemah dan disunting Lim Hong Siang.

Tiada ulasan: