Isnin, 28 September 2009

Hapuskan 'fear factor', hormati pengundi pos

Azamin Amin
(Kemaskini,2.50pm)


PUTRAJAYA :Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diminta untuk menghapuskan 'fear factor' anggota keselamatan dan menghormati pengundi pos untuk membuat pilihan mereka dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang kelak.

"Cadangan terbaik hapuskan sistem borang 2 dan sampul 1 dan 2 dengan cara demikian anggota keselamatan tidak akan bimbang untuk buang undi memandangkan borang 2 dan sampul ada butir peribadi mereka,"jelas Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub di pekarangan Ibu Pejabat SPR dalam perbincangan delegasi PAS dan SPR di Putrajaya sebentar tadi.

Beliau semasa ditemui wartawan berkata, selain itu PAS dan Pakatan Rakyat juga mencadangkan agar undi-undi pos tidak disimpan di balai polis tetapi disimpan di bawah pengawasan SPR.

"Mungkin boleh letak di sekolah, Pejabat Daerah dan sekaligus mengizinkan agen-agen parti yang terbabit memantau karung undi berkenaan.

"PAS tidak kisah undi disimpan 24 atau 48 jam dengan syarat agen-agen parti memantau,"tambahnya apabila disoal wartawan mengenai isu-isu yang dibangkitkan semasa berbincang dengan SPR sebelum ini.

Selain itu, PAS juga katanya, meminta SPR agar membenarkan anggota keselamatan membuang undi pada hari pengundian dan bukannya seperti yang dibuat sebelum ini.

Dalam pada itu, katanya, SPR pada dasarnya bersetuju dengan pandangan-pandangan yang dikemukakan oleh PAS dan Pakatan Rakyat.

Salahuddin juga berkata, SPR mengakui boleh mengubah syarat-syarat undi pos tanpa meminda mana-mana akta tetapi memerlukan masa memandangkan terlalu banyak pilihan raya kecil dan dalam masa sama SPR menegaskan belum tentu apa yang dituntut akan dapat ditunaikan.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kempen di kem-kem tentera, Salahuddin berkata, PAS bersetuju sekiranya syarat tersebut dikenakan juga kepada parti pemerintah (Umno).

"Jika PAS tidak boleh berkempen maka begitu juga Umno...Umno juga tidak berkempen...PAS akan bawa calon jika kerajaan benarkan,"tambahnya.

Beliau juga menyelar tindakan Datuk Dr Zahid Hamidi dan Datuk Seri Sharizat Jalil yang bercadang untuk meraih undi dalam kem tentera.

Perbincangan antara PAS dan SPR diadakan sejak jam 11 pagi tadi. Seramai 15 orang pegawai SPR termasuk pengerusinya,Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof masih berbincang dengan delegasi PAS yang juga seramai 15 orang dan antara yang kelihatan adalah,Pengarah Pilihan raya PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman; Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Salleh;Ahli Parlimen Jerai merangkap Pengarah Pilihan raya Pemuda PAS, Firdaus Jaafar;Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar dan Setiausaha Pemuda PAS Pusat, Kamaruzaman Mohammad.

Dijangkakan delegasi BN pula akan tiba jam 3 petang nanti untuk berbincang dengan SPR.

Salahuddin yang baru sebentar tadi keluar daripada bangunan SPR menjelaskan bahawa, SPR nampaknya tidak akan melaksanakan segala tuntutan PAS dan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang kerana mendakwa kesuntukan masa._

Tiada ulasan: