Jumaat, 4 September 2009

Guan Eng Seru Semua Pihak Ambil Iktibar Dari Kes Kampung Buah Pala

TV ANTARA


Kerajaan Negeri Pulau Pinang menghulurkan rasa simpati kepada penduduk Kampung Buah Pala, namun berkata perobohan kampung tersebut bukan lagi tanggungan kerajaan negeri kerana wakil penduduk telah menolak semua jalan penyelesaian yang ditawarkan.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata kerajaan negeri sedaya-upaya mencari jalan penyelesaian termasuk ganti-rugi ex-gratia RM8,000 ringgit serta pampasan rumah teres dua tingkat bernilai RM500,000 kepada penduduk-penduduk yang layak menerimanya.

Beliau bagaimanapun menyatakan kekesalan terhadap penduduk yang enggan menerima tawaran tersebut, disebalik menyedari bahawa perobohan tersebut telah diluluskan dan telah diarahkan oleh mahkamah.

"Mahkamah telah meluluskan perobohan itu, dan penduduk telah pun mencapai satu persetujuan dengan pemaju dan polis untuk keluar dari kawasan Kampung Buah Pala. Lantas, kerajaan negeri tidak terlibat dalam memaksa mereka ini berpindah. Samada kita suka atau tidak, perintah berpindah itu adalah perintah mahkamah," kata Guan Eng.

Guan Eng sebelum ini menegaskan bahawa tawaran rumah terus dua tingkat dari pemaju, Nusmestro Ventures (P) Sdn Bhd, adalah lumayan, lebih-lebih di negeri kecil Pulau Pinang.

Setakat ini, kira-kira 24 orang penduduk yang bersetuju dengan pampasan tersebut. Menurut wakil penduduk, 20 dari 24 penduduk terbabit tetap mahu melawan kerajaan negeri walaupun bersetuju dengan pampasan itu.

Guan Eng berharap semua pihak mengambil iktibar dari perobohan Kampung Buah Pala ini. Tambah beliau lagi, tiada sesiapa yang boleh melanggar perintah dan keputusan mahkhamah dan sesiapa yang melanggarnya pasti akan menerima padah.

Mengulas mengenai kritikan wakil penduduk terhadap Pakatan Rakyat, Guan Eng berkata MIC sekadar bermain politik kerana parti perkauman itu sendiri menyedari bahawa mereka tidak boleh melawan perintah mahkamah.

Guan Eng sebelum ini mempersoalkan keikhlasan MIC yang dikatakan mahu membeli tanah Kampung Buah Pala pada nilai RM3.2 juta ringgit. Sehingga perobohan hari ini, tiada perkembangan susulan mengenai RM3.2 juta ini.

Tiada ulasan: