Khamis, 10 September 2009

Gedung Kartun: Zunar beri keterangan hari ini

Jimadie Shah Othman


Ketua editor majalah humor politik Gedung Kartun Zulkiflee Anwar Ulhaque dipanggil memberikan keterangan di Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung penerbitannya yang didakwa tanpa permit.

Malaysiakini difahamkan, sesi tersebut mengambil masa tiga jam, bermula dari pukul 10 pagi sehingga jam 1 tengahari tadi di pejabat KDN cawangan Kuala Lumpur dan Selangor di Shah Alam.

Keterangan Zulkiflee, lebih popular dikenali sebagai Zunar, dirakamkan oleh seorang pegawai penyiasat di kementerian itu.

Dalam pertemuan itu, difahamkan bekas editor akhbar organ PKR Suara Keadilan itu memberikan kerjasama penuh dengan menjawab semua soalan yang diberikan.

Khamis lalu, Zunar dilaporkan berkata, KDN memanggilnya untuk "berbincang" mengenai status permit penerbitan majalah tersebut yang dirampas dua minggu lalu.

Bagaimanapun, katanya, beliau telah menangguhkan perjumpaan hingga minggu ini kerana sibuk sepanjang minggu lalu.

Pada 25 Ogos lalu, pejabat Gedung Kartun di Jalan Sultan Abdul Samad, Brickfields telah diserbu lapan pegawai kementerian dan 408 naskhah majalah berkenaan dirampas.

Sehari kemudian, kilang percetakannya di Seri Kembangan, Serdang pula diserbu sekumpulan pegawai KDN dan 18 plet percetakan dirampas.

Tindakan itu dipercayai berkaitan kandungannya, antaranya memaparkan gelagat Datuk Seri Najib Razak yang tersilap mengibarkan bendera Mongolia bersempena sambutan hari kemerdekaan negara.

Isteri perdana menteri, Rosmah Mansor, pula digambarkan sebagai dalang yang menggerakkan wayang kulit berkepala suaminya, selain seorang yang menggunakan khidmat bomoh dan dilabelkan sebagai "Rosmoh."

Setebal 68 halaman, Gedung Kartun juga menggelarkan Najib sebagai "Datuk Nazak", dipercayai singkatan namanya dan bapanya Tun Abdul Razak Hussein.

Zunar bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya ia diterbitkan tanpa permit, sebaliknya ia diterbitkan setelah seorang pegawai KDN memaklumkan secara lisan bahawa permit Gedung Kartun diluluskan pada 3 Ogos lalu.

Tiada ulasan: