Sabtu, 5 September 2009

Flat Sri Kuching jadi 'port' maksiat

SINAR HARIAN ONLINE


Sekali tinjau, 10 blok Flat Sri Kuching ini sesuai dijadikan lokasi penggambaran filem ataupun drama seram berikutan terbiar dan tidak diuruskan pihak berwajib. Hakikatnya, projek perumahan kos rendah yang dahulunya berdiri megah kini boleh diibaratkan hidup segan, mati tidak mahu.

KUALA LUMPUR – Flat Sri Kuching satu ketika dahulu antara projek perumahan kos rendah yang dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan mula diduduki sejak 1975.

Malah, menjadi kebanggaan masyarakat ketika itu berikutan lokasinya yang strategik kerana berada di laluan jalan utama ke ibu kota.

Kini, segalanya hanya tinggal kenangan apabila 10 blok yang terdiri daripada 400 unit bekas rumah anggota tentera itu terbiar sehingga menyebabkan penduduk awam yang masih tinggal di lima buah blok berhampiran mula menanggung seksa.

Difahamkan, sebelum ini anggota tentera bersama keluarga yang tinggal di situ dipindahkan ke kuarters Kem Wadiburn Setapak sementara menanti flat berkenaan di baik pulih dan membuat pengubahsuaian rumah.

Kerja mengecat bangunan dijalankan manakala setiap unit rumah dipasang pintu pagar besi dan dikunci rapi namun, ianya hanya dapat bertahan kurang setahun apabila unit rumah tinggal itu mula dicerobohi pihak tidak bertanggungjawab.

Lebih memeranjatkan, kesemua unit rumah di blok A, B, C, D, L, M, K, N, P, Q di pecah masuk mengakibatkan segala wayar, singki aluminium dan apa sahaja barangan yang boleh dijual dicabut dan dilarikan.

Paling tidak dapat diterima penduduk di lima blok flat berhampiran apabila terdapat ‘mat lentok’ menjadikan kawasan itu sebagai ‘port’ melepaskan gian.

Sistem saluran longkang yang ada juga tidak berfungsi dengan sempurna apabila air yang bertakung di sini dipenuhi oleh jentik-jentik.

Pesara tentera, Nordin Shafie, 43, berkata, sepatutnya 10 blok itu dipantau oleh pihak bertanggungjawab.

“ Kita tidak tahu status flat ini kerana sudah setahun terbiar malah, penduduk risau bangunan itu bakal menjadi tempat tidak baik, tambahan pula ada mendakwa, kehadiran remaja luar berkelia ran di kawasan flat itu untuk membuat maksiat,” katanya.

Menurutnya, dia ada beberapa kali menegur beberapa pasangan remaja yang berkelakuan tidak senonoh di kawasan itu.

Asmawati Ies, 32, berkata, kawasan di situ yang agak terlindung membuatkan penjenayah boleh mengambil kesempatan.

“Ibu bapa risau tentang keselamatan anak perempuan mereka kerana perkara tidak diingini boleh berlaku bila-bila masa sahaja dalam sekelip mata,” katanya.

Jelasnya, pihak yang bertanggungjawab ke atas flat itu perlu bertanggungjawab menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk sejak setahun yang lalu.

Turut berkongsi pandangan, Rahimi Mohamed, 41, yang begitu kecewa dengan pengurusan flat berkenaan yang lepas tangan.

“Jangan lemparkan masalah ini kepada penduduk kerana kami berharap akan ada perubahan dan masalah dapat diselesaikan.

“Kalau hendak roboh, buat cara hendak roboh, jangan biarkan sahaja keadaan flat tidak terurus seperti ini kerana pelbagai jenis penyakit dan wabak boleh dibawa sekali gus menjangkiti penduduk sekitar akibat persekitaran kotor,” katanya.

Kelemahan pihak bertanggungjawab

Pegawai Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Batu, Ridzwan Mohd Ali ketika melawat lokasi tersebut bersama penduduk menyifatkan kawasan itu terbiar kerana kelemahan pihak yang dipertanggungjawabkan.

“Kita kesal dengan apa yang berlaku kerana 1,001 masalah boleh wujud di situ jika tiada tinda kan segera diambil,” katanya

Jelasnya, sebelum ada perkara buruk terjadi, pihak bertanggung jawab perlulah bertindak segera.

Tiada ulasan: