Selasa, 1 September 2009

EGM Ong: 13 atau 27 Sept ini?

MALAYSIA KINI


Mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang dipanggil oleh Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat, disebut-sebut akan diadakan seawal 13 September ini atau selepas Hari Raya Aidilfitri pada 27 September.

Ia merupakan dua tarikh yang disebut-sebut, tetapi setiausaha agung MCA, Datuk Wong Foon Meng dijangka memutuskannya dalam satu mesyuarat di ibupejabat parti itu di Kuala Lumpur petang ini.

Manakala penyokong Chua pula masih mengumpul jumlah tandatangan yang diperlukan dari para perwakilan untuk mengadakan satu lagi EGM.

Naib ketua MCA bahagian Puchong, Theng Book, seorang penyokong kuat Chua, memberitahu Malaysiakini bahawa pihaknya belum boleh menyerahkan hari ini surat untuk mengadakan EGM tersebut.

Sumber-sumber parti itu berkata, Dewan San Choon di Wisma MCA - tempat diadakan mesyuarat agung MCA - telah ditempah oleh kem Ong untuk tiga hujung minggu berturut-turut.

Ini dilihat untuk memudahkan setiausaha agung memilih tarikh untuk mengadakan EGM, dan pada masa yang sama, dapat mengelak kem Chua daripada menggunakan dewan itu untuk mengadakan EGM pada masa yang sama.

Walaupun pihak parti itu tidak mengesahkannya, tetapi Wong berkata, beliau akan menghantar notis EGM kepada perwakilan secepat mungkin sebaik sahaja beliau memutuskan tarikh dan tempatnya.

Wong yang juga yang dipertua Dewan Negara memberitahu demikian selepas majlis angkat sumpah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala dan timbalan setiausaha MCA Melaka, Lee Cheam Choon sebagai senator pagi ini.

Wong berkata, beliau tidak menerima sebarang dokumen bertulis dari mana-mana pihak sehingga ini dan beliau akan memutuskan sama ada berlaku persamaan dalam usul mereka, sebelum memutuskan sama ada membenarkan atau tidak, kedua-dua EGM itu diadakan.

Akhbar berbahasa Cina memetik setiausaha politik Ong - Simon Lim - sebagai berkata, EGM itu boleh diadakan seawal 12 September.

Bagaimanapun, semalam Bernama memetik sumber-sumber parti sebagai berkata, Ong dijangka memanggil EGM hanya selepas Hari Raya.

Ini kerana beliau telah merancang untuk mengadakan siri taklimat kepada pemimpin dan ahli parti sehingga pertengahan bulan ini.

Notis untuk mengadakan EGM perlu dikeluarkan dalam tempoh 21 hari. Bagaimanapun, Artikel 165 perlembagaan parti itu membenarkan presiden memendekkan tempoh tersebut jika keadaan memerlukan.

Ng masih berdiam

Sementara itu, Naib Presiden MCA, Datuk Ng Yen Yen terus enggan mengulas kem mana yang disokongnya dalam krisis yang dihadapi parti itu sekarang.

Beliau merupakan satu-satunya naib presiden MCA yang enggan menyatakan pendiriannya secara terbuka.

Tiga lagi naib presiden - Datuk Kong Cho Ha, Datuk Liow Tiong Lai dan Datuk Tan Kok Hong - menyokong Ong.

Ng yang juga menteri pelancongan ditanya pemberita pagi ini mengenai pendiriannya, tetapi beliau masih enggan mengulas. Beliau melancarkan satu majlis di KLIA.

Walaupun diekori wartawan sejauh kira-kira 500 meter, beliau hanya tersenyum dan masih enggan mengulas.

Apabila terus didesak pemberita, Ng tiba-tiba berkata "1Malaysia" dan beredar dari situ.

Beliau juga telah membatalkan kehadirannya di satu lagi majlis pada jam 3 petang ini di Kelana Jaya.

Ng dilihat menyokong Chua. Tahun lalu beliau meminta 'pengampunan' untuk Chua ekoran pembabitannya dalam skandal video seks.

Tiada ulasan: