Isnin, 21 September 2009

Dua percubaan rompak mesin ATM di Selangor gagal

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Selangor pada Hari Raya pertama menyaksikan dua percubaan merompak mesin ATM dengan kedua-dua percubaan itu gagal.

Dalam kejadian pertama di sebuah bank di Sekysen 20 Shah Alam dua perompak menggunakan batang besi untuk mengumpil mesin ATM dan mengeluarkan wang di dalamnya.

Timbalan Ketua Polis Shah Alam Supt M. Chandrasehkaran berkata bagaimanapun dalam kejadian pada pukul 5.30 pagi perompak-perompak itu gagal memecahkan mesin ATM berkenaan dan melarikan diri dengan tangan kosong.

"Pihak polis telah mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) akan insiden itu," katanya apabila dihubungi.

Sementara itu dalam kejadian kedua di Putra Heights, Puchong, mungkin kerana beranggapan bunyi letupan tidak akan menarik perhatian semasa kemeriahan Aidilfitri, tiga lelaki cuba merompak wang daripada sebuah mesin ATM menggunakan bahan letupan buatan sendiri.

Namun begitu, percubaan mereka juga menemui kegagalan.

"Saya tergamam dan cuba mencari dan memberkas mereka yang terbabit namun penglihatan saya terhalang kerana asap dan debu akibat letupan itu," kata seorang pengawal keselamatan di bank itu.

Beliau terkejut dan takut apabila terdengar bunyi letupan yang kuat itu.

Dalam kejadian pada kira-kira pukul 8.30 pagi itu ketiga-tiga lelaki terbabit masuk ke dalam bank dan menyembur cat merah pada CCTV di premis terbabit sebelum cuba meletupkan mesin ATM.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor ACP Khaw Kok Chin berkata bagaimanapun kejadian itu disedari oleh pengawal keselamatan yang segera mengaktifkan penggera keselamatan.

Katanya, ketiga-tiga lelaki yang dipercayai berumur 30an itu melarikan diri selepas terdengar bunyi penggera itu.

Tiada ulasan: