Khamis, 17 September 2009

Dua NGO buat laporan polis

Oleh MOHD HAFIZ ABD MUTALIB


KUALA LUMPUR - Dua lagi badan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis terhadap perwakilan MIC yang mencadangkan supaya gambar bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dikalungkan dengan selipar pada perhimpunan agung parti itu, baru-baru ini.

Kedua-dua NGO terbabit ialah Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM) dan Kongres India Muslim Malaysia Wilayah Persekutuan (Kimma).

Laporan polis itu dibuat oleh Pengerusi Kimma, Mohd. Fazil William Abdullah dan wakil IRIMM, Maiden Mohamed di Balai Polis Brickfields di sini pukul 11.15 pagi ini.

Badan tersebut turut ditemani Presiden IRIMM, Amir Amsaa Alla Pitchay serta wakil-wakil dari Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Mohd. Fazil ketika ditemui berkata, kenyataan perwakilan MIC itu dilihat sangat biadab, terutamanya kepada Dr. Mahathir yang telah banyak berjasa kepada negara.

Beliau berkata, perkara ini sepatutnya tidak patut berlaku, kerana MIC merupakan satu parti dalam komponen Barisan Nasional (BN) yang telah lama menjalinkan kerjasama.

"Dr. Mahathir merupakan seorang tokoh ulung yang telah lama berbakti untuk negara, jika beliau memberi nasihat, mesti ada sesuatu yang tidak kena dan harus diterima pakai bukannya dihina.

"Kami sebagai umat Islam turut merasa tempias dengan kenyataan itu yang dilihat sebagai satu penghinaan kepada orang Melayu," katanya.

Beliau berkata, agar tindakan tegas dapat diambil terhadap perwakilan MIC ini dan berharap agar perkara seperti ini tidak berulang.

Baru-baru ini, seorang perwakilan MIC mencadangkan agar gambar Tun Mahathir diletakkan kalungan selipar kerana beliau telah mencampuri urusan dalaman MIC melalui komen beliau dalam sebuah akhbar berbahasa Tamil.

Sementara itu, Amir Amsaa berkata, dia sangat dukacita dengan kenyataan perwakilan MIC itu yang dilihat sebagai satu penghinaan kepada Dr. Mahathir, seorang negarawan yang terkenal di seluruh dunia.

Kata beliau, Dr. Mahathir telah banyak berjasa dengan banyak membawa perubahan kepada semua kaum di negara ini semasa zaman pemerintahannya.

"Kenyataan itu dilihat seperti tidak mengenang jasa dengan apa yang telah dilakukan Dr. Mahathir selama ini.

"MIC perlu memohon maaf secara terbuka kepada Dr. Mahathir dan orang Melayu di negara ini," tegas beliau.

Katanya, sehubungan itu, beliau meminta pihak polis segera mengambil tindakan terhadap perwakilan MIC terbabit.

Tiada ulasan: