Isnin, 7 September 2009

Dua nama sebagai calon PAS, setakat ini

Abdul Rahim Sabri


Dua pemimpin PAS antara dua nama yang disebut-sebut bakal mewakili parti itu dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang, kata ketua Pemuda PAS Negeri Sembilan.

Mohd Khairil Anuar Mohd Wafa berkata kedua-duanya adalah pesuruhjaya PAS negeri Zulkefly Mohamad Omar dan yang dipertua kawasan Teluk Kemang Ramli Ismail.

Ramli, seorang anak tempatan di parlimen tersebut, merupakan calon PAS di situ pada pilihan raya umum lalu.

Tambahnya, Ramli kini menetap di sebuah taman perumahan yang terletak dalam DUN Lukut - yang bersempadanan dengan DUN Bagan Pinang.

Selain Lukut dan Bagan Pinang, tiga lagi DUN bawah parlimen Teluk Kemang: Chuah, Linggi dan Port Dickson.

Pada pilihan raya umum tahun lepas, allahyarham Azman Mohamad Noor menang atas tiket BN dengan majoriti 2,333 undi, menewaskan Ramli yang memperolehi 4,097 undi.

Menurut Mohd Khairil Anuar lagi, terdapat juga akar umbi PAS di DUN berkenaan yang mahu Zulkefly bertanding.

"Akar umbi nak Zulkefly, sebab beliau seorang pesuruhjaya dan beliau patut ada dalam Dewan Undangan Negeri (DUN)," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Bagaimanapun, difahamkan Zulkefly lebih berminat meneruskan perjuangannya di kawasan yang ditandinginya dahulu, di Lenggeng dalam kawasan parlimen Seremban.

Menurut ketua Pemuda itu lagi, badan perhubungan PAS akan bermesyuarat esok, selepas solat terawih bagi menentukan calon yang sesuai di DUN Bagan Pinang.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad, yang juga ketua Umno bahagian, diura-urakan berminat bertanding di kerusi tersebut.

Tiada ulasan: