Selasa, 1 September 2009

Dua EGM MCA?

Harakahdaily


KUALA LUMPUR : Mesyuarat agung luar biasa (EGM) MCA akan diadakan dua kali? Apakah senario PPP (Parti Progresif Penduduk) akan berulang pada MCA? Atau Timbalan Presiden MCA, Dato' Chua Soi Lek dan penyokongnya akan menghadiri EGM yang ditetapkan oleh Presiden MCA, Dato' Seri Ong Tee Keat?

Persoalan ini mula berlegar di kalangan pemerhati politik apabila baru-baru ini, Ong telah mengarahkan supaya diadakan EGM parti itu, seminggu selepas parti itu memecat Chua.

Agensi berita melaporkan, Ong mengeluarkan arahan itu kepada Setiausaha Agung parti, Dato' Wong Foon Ming pada pagi semalam, kata setiausaha politik Ong, Simon Lim.

Wong, semasa dihubungi mengesahkan yang beliau telah menerima arahan daripada Ong supaya diadakan EGM dalam tempoh 30 hari dan beliau sedang dalam proses menetapkan tarikh itu.

"Kami sedang dalam proses menetapkan tarikh, masa dan venue bagi EGM. Saya berharap kami dapat menetapkan semua itu pada hari ini juga dan notis boleh dikeluarkan esok," katanya.

Agenda EGM masih belum ditetapkan lagi tetapi difahamkan antara yang utama ialah usaha mendapatkan sokongan perwakilan terhadap keputusan Majlis Presiden memecat Dr. Chua dan undi percaya terhadap kepimpinan Ong.

Keputusan Ong untuk mengadakan EGM itu dibuat ekoran bantahan oleh penyokong Chua yang telah melancarkan kempen mengumpulkan tandatangan di kalangan perwakilan parti supaya diadakan EGM.

Mengikut perlembagaan parti, EGM boleh diadakan melalui tiga kaedah persetujuan satu pertiga perwakilan, arahan daripada presiden parti, atau persetujuan satu pertiga anggota jawatankuasa pusat parti.

Orang dalaman parti berkata EGM itu kemungkinan besar diadakan selepas Aidilfitri dan tarikhnya mungkin 27 September kerana presiden parti telah menyusun siri taklimat kepada pemimpin, perwakilan dan anggota parti sehingga pertengahan bulan depan.

EGM yang bakal diadakan itu adalah yang ketiga sejak parti itu mengadakan EGM "terkenal" pada 24 Jun 2001 bagi menyokong pembelian Nanyang Press Holdings Bhd oleh cabang pelaburan parti, Huaren Holdings Sdn Bhd.

Parti itu telah mengadakan EGM pada 27 Mei, 2007 untuk meminda perlembagaan parti bagi menangguhkan pemilihan parti sebelum pilihan raya umum tahun lepas dan pada 19 November 2004 untuk meluluskan pindaan perlembagaan untuk mengehadkan jumlah perwakilan pusat ke perhimpunan agung kepada 2,400.

Chua dalam reaksi segeranya memberitahu yang beliau akan menunggu sehingga parti menetapkan agenda sebelum memutuskan sama ada penyokongnya akan menghadiri EGM itu.

Pemerhati parti berkata terdapat dua kemungkinan selepas ini iaitu penyokong Dr Chua mungkin menghadiri EGM yang diarah diadakan oleh presiden atau mengadakan EGM mereka sendiri jika mereka tidak berpuas hati dengan agenda yang ditetapkan setiausaha agung parti.

"Jika mereka menghadirinya, dengan itu kita akan menyaksikan satu EGM sahaja. Jika mereka mengadakan dua EGM, dengan itu kita akan menyaksikan berulangnya apa yang berlaku dalam PPP baru-baru ini," katanya. - mks. _

Tiada ulasan: