Selasa, 15 September 2009

Dr Chua yakin dapat sokongan EGM

BERNAMA


Timbalan presiden MCA yang dipecat Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata beliau yakin akan mendapat sokongan pada mesyuarat
agung luar biasa (EGM) MCA akan datang, dengan berharap jawatannya dalam parti akan dikembalikan kepadanya.

Katanya beliau berharap EGM itu akan menyelesaikan kemelut dalam parti dan membolehkan ia melangkah ke hadapan dengan lebih teguh.

"Konflik dalaman ini membawa banyak kerosakan kepada parti, diharapkan EGM ini akan dapat menyelesaikan segala konflik supaya MCA dapat bergerak ke hadapan bagi mengukuhkan parti, di samping mengembalikan imej serta kredibilitinya," katanya dalam satu forum anjuran sebuah akhbar tempatan di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata pemimpin parti perlu akur dengan keputusan perwakilan, apabila persetujuan mengenai agenda bagi EGM itu sudah dicapai semalam.

Semalam presiden parti Datuk Seri Ong Tee Keat memberi persetujuan terhadap lima usul yang dicadangkan oleh penyokong Dr Chua, yang termasuk usul undi tidak percaya terhadap presiden, dan untuk mengembalikan semula jawatan Dr Chua.

Dr Chua dipecat daripada parti pada 26 Ogos lepas selepas Majlis Presiden berpendapat beliau mencemar imej parti apabila rakaman video seks membabitkan beliau tersebar.

Dr Chua berkata beliau tidak malu untuk mengakui kesilapan yang dilakukan itu, dan beliau mengulangi pendirian tegasnya tidak akan menyertai pembangkang, dan mahu "mati sebagai anggota MCA".

"Sama ada saya adalah pemimpin yang baik atau tidak, ia terserah kepada orang ramai untuk menghakimi saya. Saya sentiasa berusaha melakukan yang terbaik dan orang yang pernah bekerja dengan saya tahu bahawa saya adalah 'workaholic'," katanya.

Berhubung keputusan Perdana Menteri untuk tidak campur tangan dalam isu MCA, Dr Chua berkata beliau percaya Datuk Seri Najib Tun Razak sebenarnya menyerahkan kepada anggota parti MCA untuk menyelesaikan konflik itu tanpa campur tangan luar.

Katanya dengan adanya EGM, kemungkinan untuk mewujudkan 'orang tengah' bagi menangani konflik itu kini sudah terlambat.

Tiada ulasan: