Sabtu, 12 September 2009

Dr Chua nafi tubuh parti baru

Bekas Timbalan Presiden MCA dakwa kenyataan hanya rekaan dibuat Ong

BERNAMA


PETALING JAYA: Timbalan Presiden MCA yang dipecat, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, semalam menafikan beliau dan penyokongnya sedang menubuhkan sebuah parti baru.

Beliau turut menyalahkan spekulasi itu kepada presiden parti, Datuk Seri Ong Tee Keat.

"Saya hanya mahu menjadi seorang ahli biasa dalam MCA apabila saya bersara sepenuhnya nanti," kata Dr Chua yang dipecat kerana terbabit dalam skandal seks DVD lucah pada 26 Ogos 2007.

Laporan media mengaitkan bekas Menteri Kesihatan itu dengan pembentukan parti baru pelbagai kaum dikenali sebagai Parti Cinta Malaysia.

Dr Chua berkata, beliau akan menyaman Ong jika masih ada dakwaan lagi dalam perkara itu.

"Saya ingin menafikan dengan tegas bahawa kami mempunyai hasrat membentuk sebarang parti baru. Saya ingin menyatakan ini adalah satu rekaan Datuk Seri Ong Tee Keat," kata Dr Chua pada sidang akhbar di sini.

"Kami tidak mempunyai rancangan seperti itu kerana yakin mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang kami usahakan akan berjaya bukan kerana mereka menyokong Dr Chua atau menentang Ong, tetapi kerana saya mempunyai kepercayaan terhadap kebijaksanaan perwakilan MCA pusat," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan merayu terhadap pemecatannya sebelum 16 September ini, Dr Chua berkata, beliau masih mempunyai masa mempertimbangkannya.

Beliau mendakwa, setakat semalam, beliau sudah mengumpul 1,200 tandatangan daripada perwakilan pusat bagi menyokongnya dan senarai itu akan didedahkan oleh Datuk Seri Tan Chai Ho, ketua penyelaras kempen mengumpul tandatangan untuk mengadakan EGM.

Ibu pejabat MCA dan penyokong Dr Chua masih belum mencari jalan untuk cadangan mengadakan EGM tunggal kerana kedua-dua pihak mendesak supaya mahu melihat cadangan agenda masing-masing terlebih dahulu.

Tiada ulasan: