Rabu, 2 September 2009

Dr Chua nafi dakwaan jadi dalang

BERITA HARIAN ONLINE


KOTA KINABALU: Bekas Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, menafikan dakwaan kononnya beliau menjadi dalang di sebalik gerakan mendesak parti komponen Barisan Nasional (BN) itu mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM).

"Terpulang kepada Jawatankuasa Pusat (CC) MCA untuk mengadakan EGM, saya tidak terbabit dan tidak mempengaruhi mereka.

"Ada yang mendakwa usaha mengumpul tanda tangan (meminta EGM diadakan) juga datangnya daripada saya. Itu tidak mungkin kerana berapa banyak bahagian yang ada dalam MCA...terlalu banyak.

"Semua itu mereka (ahli MCA) buat sendiri dan bukan atas arahan saya," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Pada 26 Ogos lalu, Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat, mengumumkan keputusan Majlis Presiden parti itu memecat Dr Chua berkuatkuasa serta-merta berikutan kes skandal seksnya yang diedar menerusi cakera video digital (DVD), awal tahun lalu.

Pemecatan itu dilakukan mengikut Artikel 127 (A) perlembagaan MCA dan Dr Chua yang juga bekas Menteri Kesihatan, dibenar mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Pusat dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan itu diterima.

Artikel 128 Perlembagan MCA pula menyatakan keputusan jawatankuasa itu adalah muktamad dan tidak boleh dipersoalkan oleh sesiapa atau di mana-mana mahkamah.

Kelmarin, Ong mengarahkan EGM diadakan bagi membolehkan ahli parti meluahkan pendapat mereka berhubung beberapa keputusan pucuk pimpinan sejak kebelakangan ini.

Menyatakan keputusan itu menerusi blognya, beliau yang juga Menteri Pengangkutan dilaporkan berkata, Setiausaha Agung MCA, Senator Datuk Wong Foon Meng sudah diarah mengadakan EGM berkenaan seperti peruntukan Artikel 30.1 perlembagaan parti.

Ditanya ramalannya mengenai keputusan EGM MCA kelak, Dr Chua berkata, segala-galanya bergantung kepada keputusan perwakilan.

"Terpulang kepada mereka, apa yang dimahukan. Saya tidak boleh meramal kerana undi adalah rahsia seperti juga pilihan raya yang semua orang tidak tahu keputusannya," katanya.

Beliau berkata, dakwaan kononnya beliau menjadi beban kepada MCA sehingga dipecat daripada parti menimbulkan pelbagai reaksi di kalangan ahli parti.

"Dia (Ong) kata semua setuju tetapi saya tahu ada juga yang tidak setuju dengan keputusan itu.

"Reaksi itu bukan saja di Sabah tetapi juga di seluruh negara kerana perwakilan mahukan kebenaran," katanya.

Tiada ulasan: