Isnin, 7 September 2009

Dr Chua cabar Ong buat laporan polis

Tuduhan berlaku politik wang anjur EGM perlu dibuktikan

Oleh Sariha Mohd Ali


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mencabar Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat supaya membuat laporan polis jika benar berlaku amalan politik wang dalam usaha penyokong bekas Timbalan Presiden MCA itu mengutip tandatangan untuk membolehkan mesyuarat agung luar biasa (EGM) diadakan.

Katanya, laporan sama juga boleh dibuat secara rasmi kepada parti supaya siasatan terperinci dilakukan dan tindakan diambil terhadap mereka.

Bagaimanapun, katanya, isu yang ditimbulkan Ong itu sengaja diadakan untuk meraih perhatian ramai selain fitnah terbaru dalam usaha mencemarkan imej dan memusnahkan dirinya.

"Cerita itu tidak berasas langsung dan sengaja direka untuk memburukkan diri saya tetapi beliau (Ong) tidak sedar, tindakannya itu turut menjejaskan nama baik MCA.

"Setiap hari, beliau menabur pelbagai tohmahan dan fitnah terhadap saya. Tuduhan terbarunya itu menunjukkan seolah-olah saya terbabit dalam politik wang untuk mendapatkan tandatangan, tetapi saya mana ada duit, tiada jawatan dan ini membuktikan beliau sengaja ingin memusnahkan saya.

"Tindakannya melempar fitnah juga memburukkan imej perwakilan kononnya mereka senang dibeli dan politik wang berleluasa dalam parti walhal perkara itu tidak berlaku," katanya, semalam.

Dr Chua berkata, Ong boleh bercakap apa saja tetapi perwakilan parti yang akan menentukan semuanya selepas ini.

Beliau berkata, usaha untuk mencari perdamaian antara dirinya dengan Ong sudah terlambat walaupun menerima nasihat daripada pelbagai pihak untuk berbuat demikian demi kebaikan parti.

"Saya tahu, EGM tidak akan menyelesaikan semua masalah yang berlaku sekarang, tetapi sekurang-kurangnya EGM boleh menentukan nasib pemimpin kerana kita ingin menyerahkan kuasa pemilihan kepada peringkat akar umbi iaitu perwakilan yang menentukannya.

"Saya pelik kerana dia yang beria-ia mahu mengadakan EGM, tetapi sampai sekarang tidak menggariskan apa agenda yang akan dibentangkan. Ini membuktikan dia hanya pandai buat bising," katanya.

Sementara itu di MELAKA, Dr Chua mendakwa Ong menghina beliau dengan menggelarnya anjing ketika mengadakan perjumpaan bersama pemimpin dan anggota akar umbi parti itu di Sabah.

Dr Chua juga mendakwa, Ong tidak berhenti menabur fitnah terhadapnya pada perjumpaan terbabit selain menyebut akan menggunakan Jawatankuasa Disiplin parti untuk memusnahkan beliau.

"Pada siri lawatan dan taklimat itu, beliau tidak berhenti menabur fitnah termasuk menggelar saya anjing," katanya di Taman Malim Jaya dekat sini, petang semalam.

Tiada ulasan: