Ahad, 13 September 2009

Dipercayai kena tolak kekasih

BERITA HARIAN ONLINE


BUTTERWORTH: Seorang gadis parah selepas ditolak kekasihnya dari tingkat lapan sebuah pangsapuri sebelum jatuh ke dalam kolam renang, dalam keadaan bogel di Park View, Jalan Assumption, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, lelaki terbabit yang juga penagih dadah cuba membunuh diri dengan mengelar kedua-dua pergelangan tangannya selepas menolak kekasihnya.

Bagaimanapun, pasangan berusia awal 20-an itu dapat diselamatkan oleh orang ramai yang melihat kejadian berkenaan dan polis yang tiba beberapa minit kemudian.

Difahamkan, sebelum itu kedua-duanya dikatakan bergaduh dan lelaki terbabit memukul serta menolak wanita yang dalam keadaan bogel dari pangsapuri mereka.

Bagaimanapun, wanita berkenaan bernasib baik kerana terjatuh dalam kolam renang yang terletak di tingkat enam bangunan itu tetapi mengalami pelbagai kecederaan termasuk retak pinggang.

Penghuni yang terkejut dengan kejadian itu, segera menghubungi polis sebelum ambulans Jabatan Pertahanan Awam (JPA) membawanya ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

Polis yang tiba di tempat kejadian terpaksa memecahkan pintu rumah mangsa dan menjumpai lelaki terbabit terbaring dalam keadaan berlumuran darah.

Lelaki terbabit dikejarkan ke HSJ dan dirawat sebagai pesakit luar sebelum ditahan untuk siasatan lanjut.

Seorang saksi berkata, beliau terdengar jeritan kuat sebelum melihat wanita itu terjatuh ke dalam kolam. Beliau berkata, penghuni lain yang turut melihat kejadian bergegas ke arah wanita itu untuk membantunya dengan menariknya keluar dari kolam berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Prai Utara, Asisten Komisioner Zulkifli Alias ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Tiada ulasan: