Jumaat, 18 September 2009

Calon BN Di Bagan Pinang Diketahui Pada 29 Sept

BERNAMA


SEREMBAN -- Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan calonnya yang akan bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang pada 29 Sept ini.

Pengerusi BN negeri Datuk Seri Mohamad Hasan berkata calon BN itu akan diumumkan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis Aidilfitri Barisan Nasional (BN) peringkat negeri di Port Dickson pada hari berkenaan.

"Calon yang telah diputuskan oleh pucuk pimpinan itu akan diketahui pada hari tersebut," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat badan perhubungan BN negeri di sini, pada hari Jumaat.

Bagaimanapun, Mohamad yang juga Menteri Besar dan pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri berkata Badan Perhubungan Umno negeri masih belum menerima senarai nama calon yang dicadangkan daripada Umno Bahagian Teluk Kemang yang diketuai oleh Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

"Saya belum menghantar nama pada pucuk pimpinan parti kerana belum menerimanya daripada Umno Bahagian Telok Kemang," katanya.

Ditanya pertemuan beliau dengan Muhyiddin di Kuala Lumpur hari ini, beliau berkata ia adalah mesyuarat pengurusan Umno, di mana Umno Negeri Sembilan diminta memberi taklimat berhubung gerak kerja di DUN Bagan Pinang.

"Saya telah memberikan taklimat kepada pengurusan UMNO mengenai persediaan yang kita buat di peringkat negeri dan bahagian Telok Kemang bagi menghadapi pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang," katanya.

Mengenai pandangan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini supaya tidak letak Mohd Isa sebagai calon BN bagi pilihan raya kecil itu, beliau berkata itu adalah pandangan peribadi beliau dan wajar diambil kira.

"Tun adalah seorang pemimpin besar yang mempunyai banyak pengalaman dan pandangan itu wajar diambil kira. Tapi penentuan calon dibuat oleh pucuk pimpinan," katanya.

Mengenai mesyuarat perhubungan BN negeri hari ini, beliau berkata semua parti komponen dari UMNO, MCA, MIC, Gerakan dan PPP telah menyatakan sokongan tanpa berbelah bahagi.

"Saya minta mereka supaya menemui seramai mungkin pengundi di kawasan DUN Bagan Pinang dan menghubungi mereka yang tidak lagi menduduki kawasan itu, tetapi balik untuk mengundi," katanya.

Tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu ialah pada 3 Okt sementara tarikh pengundian, jika ada pertandingan, pada 11 Okt. Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Azman Mohammad Noor dari BN pada 4 Sept lepas akibat jangkitan dalam darah.

Tiada ulasan: