Ahad, 13 September 2009

Bom hidrogen kuburkan Subra, bila Samy sudi berundur?

Oleh G. MANIMARAN


ORANG yang paling gembira selepas keputusan pemilihan MIC diumumkan malam tadi sudah pasti Presidennya, Datuk Seri S. Samy Vellu sendiri.

Seperti lazimnya beliau telah meluahkan perasaan gembira dengan mendendangkan lagu-lagu dalam bahasa Tamil walaupun ia tidak lengkap. Pokoknnya, beliau telah menyampaikan mesej bahawa matlamatnya telah tercapai.

Di akhir kata-katanya kepada perwakilan malam tadi juga, Samy Vellu meminta para perwakilan balik ke hotel penginapan masing-masing dan kembali ke Dewan Merdeka pagi ini. "Ada banyak lagi berita gembira saya nak sampaikan. Datang pukul 9 pagi esok. Saya akan berada di sini 9 pagi esok," kata bekas Menteri Kerja Raya dan bekas Ahli Parlimen Sungai Siput ini.

Ini pemilihan pertama dalam MIC selepas pilihan raya umum ke-12 Mac 2008.

Kira-kira 12 jam sebelum itu, Samy Vellu berada di sudut yang jauh berbeza. Khususnya ketika Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak menyampaikan ucapan perasmian Perhimpunan Agung MIC Ke-63.

Samy Vellu sendiri mengakui perkara ini apabila ditemui wartawan lewat petang semalam sebelum keputusan pemilihan diumumkan.

"Ucapan peringkat awal beliau (Najib) tidak begitu OK, tetapi kandungan akhir ucapan kelihatan OK," kata beliau. Sebahagian perwakilan menganggap ucapan Najib mencerminkan 'sikap' kepimpinan tertinggi parti khususnya Samy Vellu. Najib berkata, beliau sudah lama memberikan isyarat. Malah beliau tidak pemimpin angkuh dan menunjuk-nunjuk serta salah guna kuasa.

Berdasarkan kata-kata ringkas malam tadi, Samy Vellu yang diiringi barisan calon yang menang dalam pemilihan semalam di pentas utama di Dewan Merdeka PWTC, kelihatan 'bersemangat'. Seolah-olah beliau memperoleh kembali 'tenaga yang hilang' kira-kira 12 jam sebelum itu dengan hasil pemilihan 'menyapu bersih'.

Ini kerana hampir 90 peratus calon yang diiktiraf beliau memenangi jawatan-jawatan yang ditandingi - Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC). Daripada tiga jawatan ditandingi itu, Samy Vellu memperlihatkan kegembiraan jauh lebih besar kali ini kerana Datuk G. Palanivel yang disokongnya menang buat kali kedua berturut-turut.

"Semua orang hendakkan perubahan, kini sudah ada perubahan, kami sudah membawa perubahan... seramai 18 daripada 23 calon CWC yang menang adalah muka baru. Pemenang-pemenang kerusi Naib Presiden adalah muka baru. Timbalan Presiden baru tiga tahun dan kini masuk penggal kedua... Presiden, saya baru 73 tahun," kata beliau yang dicelah oleh Palanivel bahawa "pemimpin (Samy) yang muda sepanjang masa."

Tiga jam sebelum keputusan diumumkan Samy Vellu mengatakan bahawa MIC akan hancur jika beliau meletakkan jawatan sekarang. Oleh itu kata Samy Vellu, beliau mahu memberikan "latihan kepada barisan baru yang bakal menang" untuk membawa parti dengan baik. Pokoknya, Samy Vellu kembali menunjukkan bahawa beliau masih kuat dan masih berpengaruh dalam menentukan barisan kepimpinan parti itu.

Di sebalik cabaran dan ujian termasuk prestasi buruk dalam pilihan raya umum lalu, perwakilan-perwakilan terus meletakkan keyakinan terhadap kata-kata Samy Vellu dalam menentukan siapa yang mereka harus pilih, sekali gus menentukan barisan kepimpinan. Di atas kertas, Samy Vellu tidak seharusnya mencampuri urusan pemilihan semalam.

Bagaimanapun Samy Vellu bertindak sebaliknya. Walaupun telah menang tanpa bertanding pemilihan Presiden April lalu, Samy Vellu tetap berkempen seolah-olah turut bertanding jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden.

Di sebalik keputusan bagi pemilihan tiga peringkat semalam, Samy Vellu memperlihatkan kegembiraan kerana berjaya menumpaskan Subramaniam buat kali kedua menerusi Palanivel. Palanivel menewaskan Subramaniam tiga tahun lalu.

Samy Vellu pernah menewaskan Subramaniam pada tahun 1977 (pemilihan jawatan Timbalan Presiden) dan 1989 (pemilihan jawatan Presiden).

Lima hari sebelum hari pengundian, CWC yang dipengerusikan oleh Samy Vellu telah memutuskan untuk mengambil tindakan disiplin terhadap Subramaniam atas dakwaan memburukkan nama baik parti ekoran laporan media bahawa wujud penipuan dalam pengiraan undi pada pemilihan timbalan presiden 1977.

Jawatankuasa Disiplin dipercayai akan mengeluarkan surat tunjuk sebab ke atas Subramaniam bila-bila masa selepas ini. Subramaniam yang sedia menghadapi surat tunjuk sebab Jawatankuasa Disiplin memerlukan masa untuk memikirkan pelan masa depan politik.

Tumpuan kini bila Samy Vellu akan melepaskan tampuk pucuk kepimpinan kepada penggantinya selepas sudah berjaya dalam usaha beliau meletakkan paku terakhir ke atas kerjaya politik Subramaniam dalam MIC.

Ataupun sebagaimana pernah disaksikan pada 1990-an, apakah Samy Vellu akan sekali gus mencantas cawangan, bahagian dan penyokong Subramaniam ekoran keputusan pemilihan semalam.

Berdasarkan ucapan Najib semalam, Samy Vellu mungkin tidak akan mengambil tindakan sedemikian. Begitu juga kemungkinan Jawatankuasa Disiplin tidak akan bertindak ke atas Subramaniam sembarangan.

Sebaliknya Samy Vellu dikatakan kemungkinan berusaha untuk menjernihkan persekitaran dalaman MIC untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Samy Vellu tiada pilihan! Beliau tidak boleh lagi meneruskan usaha defensif dan agresif terhadap kumpulan yang menentangnya. Calon Timbalan Presiden yang disokongnya memperoleh 629 undi berbanding campuran keseluruhan 827 undi diperoleh Datuk S. Subramaniam dan Datuk S. Sothinathan.

Walaupun Samy Vellu baru-baru ini mengatakan bahawa beliau akan kekal sehingga 2012, keputusan semalam diharap ramai akan mengubah pendiriannya demi MIC dan BN.

Tiada ulasan: