Ahad, 13 September 2009

Biro Politik bermesyuarat Jumaat depan rumus pindaan perlembagaan Umno

BERNAMA


IPOH: Biro Politik Umno akan bermesyuarat pada Jumaat depan bagi merumuskan semua cadangan pindaan perlembagaan parti itu yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Induk Pindaan Perlembagaan Umno dan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno semalam.

Bendahari Umno, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata rumusan dan keputusan oleh Biro Politik itu akan dibentangkan semula dalam mesyuarat MT Umno akan datang sebelum dikemukakan dalam perhimpunan agung khas parti itu pada bulan depan.

"Bulan Oktober pada 23 haribulan kita akan mengadakan perhimpunan agung Umno di mana hari pertama akan membincangkan usul membahas ucapan dasar presiden.

"Kemudian pada hari berikutnya kita akan membincangkan pindaan perlembagaan tersebut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata pindaan berkenaan terutamanya penghapusan sistem kuota akan membolehkan orang baru terutamanya golongan muda Umno menawarkan diri untuk bertanding jawatan tinggi dalam parti.

"Jadi proses peremajaan semula parti akan dapat dipercepatkan. Ini bagi tujuan untuk memperkukuhkan Umno kerana kita tahu bahawa Umno dan Barisan Nasional (BN) adalah tunggak kepada pemerintahan negara," katanya yang juga Menteri Kewangan II.

MT Umno dalam mesyuaratnya semalam membincangkan cadangan oleh Jawatankuasa Induk Pindaan Perlembagaan Umno yang dipengerusikan oleh Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Antara cadangan, menghapuskan sistem kuota dalam pemilihan pemimpin tertinggi parti yang diperkenalkan pada 1988.

Sistem itu menetapkan antara lain, mereka yang ingin bertanding jawatan Presiden perlu mendapat sekurang-kurangnya 30 peratus pencalonan atau 57 daripada 191 bahagian Umno.

Timbalan Presiden, Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri pula mesti mendapat minimum 20 peratus pencalonan atau 38 bahagian; dan Naib Presiden (10 peratus/19 bahagian).

Pemilihan bagi semua jawatan tertinggi Umno yang akan datang, dijadualkan pada perhimpunan agung parti 2011.

Tiada ulasan: