Ahad, 6 September 2009

Bernas rugi RM57 juta jual beras lebih murah

UTUSAN ONLINE


KUCHING - Padiberas Nasional Berhad (Bernas) mengalami kerugian RM57 juta kerana terpaksa membeli beras dengan harga tinggi dan menjualnya pada harga yang lebih rendah tahun lalu.

Pengarah Urusannya, Bakri Hamzah berkata, keadaan itu berlaku berikutan negara berdepan krisis beras terburuk dalam tempoh 35 tahun.

"Kita terpaksa menjual beras pada harga yang lebih rendah daripada harga import sebab rakyat tidak senang hati dengan harga jualannya yang melonjak tinggi.

"Maka kita mengalami kerugian RM57 juta tahun lalu dan Sarawak menyumbang 15 peratus atau RM8.5 juta kepada kerugian itu," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Dalam perkembangan lain, Bakri memberitahu, Malaysia tidak akan berdepan masalah bekalan beras berikutan kerajaan memutuskan untuk meningkatkan jumlah stok simpanan beras negara daripada 92,000 kepada 292,000 tan metrik.

Jelasnya, Bernas turut menetapkan stok dagangan antara 150,000 hingga 200,000 tan metrik beras dari semasa ke semasa bagi memastikan bekalannya mencukupi.

"Sehubungan itu, rakyat negara ini tidak perlu bimbang kerana masalah bekalan beras seperti yang dialami tahun lalu tidak akan berulang lagi," katanya.

Sementara itu, Bakri berkata, isu pemilikan saham Bernas oleh syarikat asing dijangka diselesaikan pada penghujung tahun ini.

Jelasnya, cadangan syarikat tempatan, Tradewinds (M) Berhad untuk membeli ekuiti Bernas daripada pemegang saham terbesar ketika ini tertakluk persetujuan kerajaan.

Tiada ulasan: