Sabtu, 12 September 2009

Pos proses 6.6 juta kad ucapan raya

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) menjangka 6.6 juta kad raya diproses menjelang Aidilfitri tahun ini.

Pemangku Ketua Pegawai Operasi PosMel, Bahaman Kamaruzzaman, berkata sehingga kelmarin, 2.84 juta kad ucapan sudah diproses.

“Jumlah itu meningkat pada minggu menjelang hari raya yang dijangka mencecah 6.6 juta sehingga tarikh operasi ditutup 14 September.

“Untuk melancarkan pemprosesan kad, kami mengambil 100 kakitangan sementara untuk bekerja di 32 pusat prosesan mel di seluruh negara selain membekukan cuti kakitangan dari 1 hingga 26 September ini,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Bahaman berkata, walaupun ada kaedah khidmat pesanan ringkas (SMS) dan MMS, orang ramai masih menggunakan cara lama dan buktinya kad ucapan yang diterima saban tahun tidak pernah berkurangan.

“Ini menunjukkan budaya menggunakan perkhidmatan pos untuk menghantar kad perayaan sebagai pengganti diri, masih mendapat tempat di hati masyarakat.

“Walaupun ada pengurangan, kami yakin jumlah itu akan meningkat pada saat akhir,” katanya.

Bahaman berkata, kad ucapan turut diklasifikasikan sebagai surat standard jika mematuhi lima ciri seperti ditetapkan Pos Malaysia awal Januari lalu.

“Jika kad ucapan di tidak memenuhi ciri surat standard, penerima mel dikenakan caj tambahan.

“Kita harap orang ramai menghantar kad selewat-lewatnya 14 September,” katanya.

Tiada ulasan: