Jumaat, 18 September 2009

Bekas tahanan ISA ingin jumpa kekasih

BERNAMA


Tiada apa yang diharapkan oleh Mohd Nasir Ismail @ Hassan yang dibebaskan daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri
(ISA) dua hari lalu selain dapat meneruskan pekerjaan sebagai kontraktor dan diterima kembali oleh teman wanitanya yang ditinggalkan lebih dua tahun lalu.

"Alhamdulillah akhirnya saya dibebaskan juga dan pertama sekali bila dibebaskan mahu memeluk seluruh anggota keluarga terutama ibu bapa saya yang saban masa berdoa kesejahteraan saya selama ini.

"Apa yang saya akan buat selepas ini adalah menyambung kembali pekerjaan sebagai kontraktor Kelas F dan berharap teman wanita yang saya tinggalkan lebih dua tahun lalu dapat menerima saya kembali," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumah ibu bapanya di Kampung Tanjung di Kota Bharu hari ini.

Mohd Nasir, 35, ditahan di bawah ISA pada 15 April 2007 di Kajang, Selangor kerana terlibat dengan gerakan Jemaah Islamiah (JI).

Selain Mohd Nasir, empat lagi yang dibebaskan ialah Abdullah Daud, Mat Sah Mohd Satray Ahmad Kamil Md Hanapiah dan Muhammad Amir Md Hanapiah.

Mohd Nasir, anak ketiga daripada 10 beradik, berkata beliau berhasrat menamatkan zaman bujangnya dan beliau telah bertemu ibu bapa teman wanitanya yang dikenali sebagai "Ros".

"Ros memang asal Kelantan yang kini bertugas sebagai kakitangan kerajaan di luar negeri ini.

"Saya berdoa Ros dapat menerima saya kembali dengan seadanya," katanya.

Mohd Nasir berkata sepanjang ditahan di Kem Tahanan ISA di Kamunting, Perak, beliau menghabiskan masa beribadat dan membaca buku.

Beliau juga berhasrat mengadakan kenduri doa selamat atas pembebasannya selepas Aidilfitri nanti.

"Berkat Ramadan dan Aidilfitri saya berharap dapat mencari rezeki semula sebagai kontraktor dan saya terpaksa bermula daripada bawah untuk naik semula yang semuanya musnah ketika ditahan," katanya.

Tiada ulasan: