Rabu, 9 September 2009

Bekas ADUN berhadapan tindakan mahkamah

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang gagal membayar balik peruntukan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang digunakan melebihi jumlah dibenarkan, bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat), Teng Chang Khim, semalam, meminta Pegawai Daerah Petaling, Datuk Zulkepli Ahmad agar mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang berkenaan.

Menurutnya, peruntukan yang sepatutnya digunakan oleh ADUN ialah RM1,000 sebulan, dan sehingga Mac 2008, ADUN berkenaan hanya layak menuntut kira-kira RM3,000 sahaja kerana selepas itu Dewan dibubarkan.

“Ini bererti, ADUN itu berhutang kepada Kerajaan Negeri kira-kira RM10,000.

“Adakah hutang ini telah dituntut?” katanya pada sesi Pendengaran Awam Terbuka berhubung isu peruntukan DUN dari Januari sehingga Mac 2008 yang diuruskan oleh ADUN Barisan Nasional (BN), di sini.

Zulkepli yang menjawab pertanyaan Chang Khim berkata, pihaknya ada menghantar surat tuntutan agar individu yang berkenaan membayar balik namun tidak ada yang berbuat begitu sehingga kini.

Chang Khim kemudiannya memaklumkan bahawa tempoh yang diperuntukkan dalam undang-undang untuk membuat tuntutan ialah tiga tahun.

“Selepas tempoh itu, ia akan dikira sebagai tidak dituntut. Sehingga kini, sudah 18 bulan berlalu dan tinggal kira-kira satu setengah tahun lagi masa yang ada untuk membuat tuntutan terhadap semua DUN.

“Saya meminta agar Datuk (Zulkepli) memaklumkan kepada Penasihat Undang-undang Negeri (Datin Paduka Zauyah Be Loth Khan) supaya mengambil tindakan mahkamah dengan segera,” katanya.

Sementara itu, Chang Khim turut mempertikaikan beberapa perkara termasuklah permohonan peruntukan DUN, kelulusan daripada Pejabat Daerah, serta peruntukan yang melebihi jumlah dibenarkan iaitu RM500,000.

Difahamkan, antara kawasan yang menggunakan peruntukan tahun 2008 melebihi jumlah itu ialah Bukit Gasing (RM602,000, dengan 60 permohonan), Kota Damansara (RM613,950 dengan 122 permohonan), Kinrara (RM504,300 dengan 98 permohonan), Taman Medan (RM512,000 dengan 75 permohonan), Seri Setia (RM630,580 dengan 108 permohonan), Paya Jaras (RM504,500 dengan 165 permohonan), Seri Serdang (RM510,396 dengan 77 permohonan) Seri Kembangan (RM563,500 dengan 150 permohonan), Bukit Lanjan (RM502,678 dengan 127 permohonan), dan Damansara Utama (RM512,000 dengan 80 permohonan).

Tiada ulasan: