Isnin, 14 September 2009

Bawa kit H1N1 semasa beraya: KP Kesihatan

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Orang ramai digalak membawa kit H1N1 yang mengandungi penutup mulut serta hidung, tisu dan sanitizer, ke mana-mana sahaja mereka pergi semasa cuti perayaan kali ini bagi mengelak penularan jangkitan Influenza A (H1N1).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata mereka yang mempunyai gejala selesema serta golongan berisiko, pula disaran sebaik-baiknya menggunakan pengangkutan sendiri untuk balik kampung.

"Bagaimanpun jika terpaksa menggunakan pengangkutan awam, pastikan anda sentiasa memakai penutup mulut dan hidung, selain mengamalkan kebersihan tangan pada setiap masa sepanjang perjalanan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, penumpang pengangkutan awam juga perlu memastikan bahawa kertas tisu muka yang sudah digunakan dibuang ke dalam tong sampah yang ditutup supaya tidak menjadi satu sumber jangkitan.

"Setibanya di kampung, individu yang mempunyai gejala selesema perlu menjarakkan diri dari orang lain, sentiasa memakai penutup mulut dan hidung, mengamalkan adab batuk, kerap mencuci tangan dan tidak mengunjungi tempat-tempat yang sesak seperti rumah terbuka dan majlis kenduri," katanya.

Tiada ulasan: