Rabu, 2 September 2009

Bantah Pindah Kuil : Pemuda UMNO, WP Jadi Dalang

SUARA KEADILAN


Tindakan biadap mengarak dan memijak kepala lembu sebagai membantah pemindahan kuil ke Seksyen 23 Shah Alam didalangi oleh konco-konco Umno yang mempunyai kaitan rapat dengan sayap Pemuda parti itu sendiri.

Siasatan yang dijalankan oleh Suara Keadilan mendapati sekumpulan 'penduduk' yang menyertai perhimpunan tersebut adalah di kalangan Pemuda Umno Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Kumpulan yang sama juga sebelum ini terbabit dengan demonstrasi menuntut Pengerusi DAP, Karpal Singh memohon maaf secara terbuka kononnya didakwa biadap terhadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Demonstrasi tersebut dianjurkan oleh Ketua Pemuda UMNO Bukit Bintang, Tengku Azman Tengku Zainal Abidin pada 10 Februari lalu.

Beberapa individu yang turut menyertai demonstrasi bantahan di hadapan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) juga adalah kumpulan yang sama menghadiri satu majlis yang dinamakan ‘Misi Tawan Selangor’ oleh ‘Blogger Patriotik'.

Majlis berkenaan diadakan di Shah Alam pada awal bulan Ogos lalu. Ia dilancarkan oleh Ahli Parlimen Tanjung Karang Datuk Mohd Noh Omar dan bertemakan 'Menyelamatkan umat Islam - Selangor daripada Jahiliah yang memartabatkan kaum Cina.'

Rentetan dari aktiviti-aktiviti serta program yang dilaksanakan sebelum ini dipercayai adalah sebahagian daripada rancangan jahat Umno untuk mengaib dan menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor di bawah kepimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim.

Umno menggunakan taktik kotor dengan cuba mempengaruhi dan mempergunakan persatuan-persatuan penduduk di negeri Selangor di samping menghasut mereka untuk mencetuskan ketegangan kaum di kalangan rakyat di negeri terbabit.

Peristiwa sekumpulan penduduk Seksyen 23 Shah Alam dengan beberapa NGO Melayu mengarakkan kepala lembu ke bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor sebagai membantah cadangan pemindahan kuil Hindu ke kawasan mereka adalah antara tindakan Umno yang sememangnya memperjuangkan politik perkauman untuk terus berkuasa di negara ini.

Bertentangan dengan tujuan bantahan kumpulan tersebut membantah pemindahan kuil. Mereka juga telah menghina Islam apabila memaparkan sepanduk yang tertera perkataan 'Take Beer' bertujuan untuk memalukan PAS.

Jelas sekali Umno langsung tidak peka dengan umat Islam di negara ini kerana sanggup menggunakan perkataan jijik sedemikian demi mencapai tujuan politik songsang mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk Seksyen 23 Shah Alam, Mahyuddin Manaf dilihat cuba memperbodohkan rakyat apabila dilaporkan berkata penggunaan kepala lembu sewaktu protes berkenaan adalah "misteri."

Begitu juga alasan Mahyuddin kononnya beliau tidak mengenali beberapa pemimpin NGO termasuk Timbalan Pengerusi PEWARIS, Rahimudin Mat Harun yang hadir pada bantahan itu.

Ahli Parlimen PAS Shah Alam, Khalid Samad berkata Mahyuddin dan konco-konconya bukan ahli PAS sebagaimana yang didakwa mereka.

"Tindakan mereka menjatuhkan imej Islam yang tidak selari dengan prinsip parti Islam. Tetapi saya yakin mereka bukan ahli PAS. Ini kerana sudah lebih 10 tahun saya menjadi Yang DiPertua PAS Shah Alam dan tidak pernah saya lihat muka kedua-dua penganjur demo ini.

Lagipun tiada ahli PAS yang akan sanggup menukarkan kalimah ‘Takbir’ kepada ‘Take Beer’ seperti yang dibuat oleh golongan ini," tambah beliau lagi.

Beliau juga mendedahkan bahawa kumpulan tersebut dilaporkan telah bertemu dengan Noh Omar sebelum bantahan menggunakan kepala lembu berkenaan diadakan.

Khalid menambah kumpulan itu begitu ghairah mengecam pimpinan Pakatan Rakyat tetapi membisu atas tingkah laku pimpinan Umno bersabit isu berkenaan dan kepincangan lain akibat penyelewengan kuasa, salah guna dana awam dan kelemahan pentadbiran sekian lama.

Tiada ulasan: