Isnin, 14 September 2009

Anugerah Fotografi bagi menghargai warga media

Oleh NURUL AIN MOHD. HUSSAIN


KUALA LUMPUR: Ibu Pejabat Umno akan menganjurkan Malam Anugerah Media pada Perhimpunan Agung Umno ke-60 bagi menghargai hasil kerja warga media massa yang terlibat sepanjang persidangan itu nanti dari 13 hingga 16 Oktober depan.

Setiausaha Kerja Umno, Datuk Ab Rauf Yusoh ketika mengumumkan demikian dalam sidang media selepas taklimat kepada wakil-wakil media sempena perhimpunan Agung Umno di Menara Dato' Onn di sini pada tengah hari Isnin berkata, pertandingan itu akan dibahagikan kepada beberapa kategori.

Antaranya, penulisan artikel akhbar dan online (Bahasa Malaysia, Inggeris, Cina dan Tamil; kedua kategori audiovisual (televisyen dan radio) dan ketiga kategori foto.

Bagi kategori foto ia dibahagikan kepada kategori berikut, gambar kandid (harian), wajah-wajah pemimpin (harian), wajah-wajah persidangan dan keseluruhan.

Bagi pertandingan harian, hadiah yang disediakan ialah seperti berikut; tempat pertama, RM 1,500 , tempat kedua RM 1,000 dan tempat ketiga RM 500.

Sementara bagi kategori keseluruhan persidangan, pemenang akan menerima hadiah seperti berikut; tempat pertama, RM 3,000, tempat kedua RM 2,000 dan tempat ketiga RM 1,000.

Syarat-syarat pertandingan ialah semua bahan yang dihantar untuk pertandingan mestilah diambil dari 13 hingga 16 Oktober 2009 sahaja dan ia mesti disiarkan di media masing-masing.

Tema pertandingan ialah pemimpin dan masyarakat dan keputusan pengadil adalah muktamad.

Hadiah bagi pemenang setiap kategori akan disampaikan pada Malam Penghargaan Media Massa 2009 yang akan diadakan pada 24 Oktober di Dewan Tun Razak Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Majlis tersebut diadakan bagi merapatkan hubungan antara kepimpinan Umno dengan pihak media massa.

Tiada ulasan: