Jumaat, 11 September 2009

6,804 pelatih ingkar akan jalani PLKN pengambilan akan datang

BERNAMA


BIDOR: Seramai 6,804 pelatih yang didapati ingkar untuk menghadiri Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan menjalani latihan itu pada pengambilan akan datang yang bermula awal tahun depan, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) tidak lagi memberikan kelonggaran dan para peserta yang masih ingkar untuk menjalani PLKN sesi akan datang perlu menjalani Perintah Khidmat Masyarakat tidak melebihi 240 jam selaras dengan pindaan Akta Latihan Khidmat Negara 2003 (Akta 628) yang dibentangkan pada persidangan Parlimen lepas.

"Kerajaan bersetuju menggantikan hukuman penjara dan denda kepada pelatih-pelatih yang disabitkan kesalahan di bawah akta ini dengan Perintah Khidmat Masyarakat itu.

"Saya mengharapkan kelonggaran dengan adanya akta ini diberikan penghargaan oleh peserta-peserta yang selama ini dapat melepaskan diri dengan pelbagai alasan untuk tidak menyertai PLKN," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian penutup PLKN Siri 6/2009 di Kem PLKN Nilam Ehsan di sini hari ini.

Ketua Pengarah JLKN, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil turut hadir pada majlis perasmian penutup berkenaan yang disertai seramai 750 orang pelatih dari Kem PLKN Nilam Ehsan, Bidor; Kem PLKN Sinaran Suria, Sungkai dan Kem PLKN Sentosa, Tapah serta turut berjalan serentak di 83 Kem PLKN di seluruh negara.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak akan menghantar misi bantuan gempa bumi di Pulau Jawa seperti mana misi bantuan yang dihantar ketika tsunami di Aceh dan gempa bumi di Yogyakarta sebelum ini.

"Pada kali ini oleh kerana kita merasakan bahawa pihak Indonesia sendiri mempunyai cukup kelengkapan, tenaga dan juga kemampuan kewangan untuk menyelesaikan masalah gempa bumi di Jawa khususnya di Tasikmalaya, jadi kita tidak pergi jika kita belum diminta untuk berbuat demikian.

"Daripada pengalaman saya terlibat dalam kedua-dua misi sebelum ini, apabila kita pergi ke sana (Aceh dan Yogyakarta) kita diterima oleh masyarakat dengan cukup baik tetapi kita merasa bahawa sensitiviti pemerintah pusat provinsi dan wilayah harus dijaga," katanya.

Beliau berkata ATM bagaimanapun sedia menghulurkan bantuan pada bila-bila masa sekiranya ada permintaan daripada kerajaan Indonesia untuk membantu mangsa gempa di Pulau Jawa itu.

Tiada ulasan: