Khamis, 10 September 2009

5 pegawai SPRM buat laporan polis di IPD Shah Alam

BERNAMA


SHAH ALAM: Lima pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) termasuk Mohd Ashraf Mohd Yunus yang juga seorang saksi dalam inkues menyiasat punca kematian Teoh Beng Hock, membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam hari ini.

Pengarah SPRM Selangor, Jaafar Mahad, memberitahu wartawan di luar IPD di sini bahawa kelima-lima pegawainya itu membuat laporan polis pada jam 4.30 petang tadi bagi menafikan mereka menggunakan kekerasan semasa menyoal siasat suspek.

"Kita menafikan kita ada mendera suspek, kenyataan yang dibuat di dalam inkues adalah berniat jahat dan ingin menjatuhkan reputasi SPRM," katanya yang mengiring pegawainya membuat laporan polis itu bagi memberikan sokongan moral kepada mereka.

T Sivanesan, seorang saksi yang dikemukakan oleh peguam keluarga Teoh, Gobind Singh Deo, hari ini mendakwa beliau pernah didera oleh SPRM semasa disoal siasat.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima Plaza Masalam di sini, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di plaza itu.

Tiada ulasan: