Khamis, 17 September 2009

40,000 dos vaksin H1N1 tiba akhir bulan depan

BERNAMA


BENTONG — Sebanyak 40,000 daripada 400,000 dos vaksin Influenza A(H1N1) yang ditempah Kementerian Kesihatan dijangka tiba di negara ini akhir bulan depan, kata Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata, vaksin tersebut akan diedarkan secara sama rata, namun disebabkan dos yang terhad kementerian akan mendahulukan golongan barisan hadapan seperti doktor dan jururawat selain golongan berisiko tinggi seperti ibu mengandung serta kanak-kanak.

Baki 360,000 dos vaksin pula akan tiba awal Januari tahun depan, katanya.

Liow berkata, kesemua vaksin itu yang bernilai RM14 juta diperoleh daripada syarikat farmaseutikal, GlaxoSmithKline (GSK) yang berpusat di United Kingdom.

Bagaimanapun, katanya kementerian yang sedang dalam proses tempahan vaksin peringkat kedua sedang meneliti beberapa inisiatif dan pengeluar lain bagi mendapatkan harga dan kualiti terbaik.

“Kami perlu membuat tempahan awal dan kami sedang mencari kualiti yang terbaik.

Kami berusaha untuk mendapatkan sebanyak mungkin sumber termasuk dari China dan Taiwan supaya jika berlaku kecemasan, kami dapat memperoleh lebih banyak vaksin,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa bersama Komuniti Orang Asli Sungai Gapoi di sini malam tadi.

Tiada ulasan: