Ahad, 13 September 2009

377 lokasi 'panas'

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Jalan Kuala Lipis-Gua Musang dikenal pasti antara 377 lokasi 'panas' di lebuh raya, jalan persekutuan dan jalan negeri di seluruh negara yang dijangka menjadi tumpuan kemalangan, musim perayaan ini.

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof berkata, sehubungan itu, pihaknya akan meningkatkan kehadiran polis bagi mengawasi laluan tersebut.

Katanya, selain itu, jalan yang turut diberi perhatian ialah Jalan Tangkak-Segamat dan Sibu-Bintulu.

Beliau berkata, lokasi-lokasi tersebut ditentukan berdasarkan daripada kes kemalangan tertinggi berlaku tahun lalu.

''Sebagai langkah persediaan menjelang musim perayaan, bilangan anggota polis ditambah di semua jalan utama terutama di lokasi-lokasi tumpuan berlaku kemalangan di setiap negeri.

''Kita akan mengawal dan memantau di setiap kawasan yang menjadi tumpuan kemalangan ini, " katanya ketika hubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Difahamkan selain tiga lokasi utama itu, jalan yang turut mencatatkan jumlah kemalangan tertinggi tahun lalu ialah Gua Musang-Kuala Krai; Kupang-Gerik; Sungai Petani-Baling; Kuala Lumpur ke Kota Bharu melalui Gua Musang; Gurun, Batu Pahat dan Pontian.

Abdul Aziz seterusnya meminta orang ramai yang hendak pulang ke kampung halaman supaya berhati-hati semasa memandu bagi mengelakkan sebarang kecelakaan daripada berlaku.

Tiada ulasan: