Ahad, 13 September 2009

3 nama perlu disenarai calon Bagan Pinang

Oleh Hussain Said


SEREMBAN: Umno bahagian Teluk Kemang disaran menyenaraikan sekurang-kurangnya tiga nama calon untuk dipilih bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata jika tiga nama dapat disenaraikan ia akan memberi peluang dan ruang kepada pucuk pimpinan membuat pilihan calon terbaik.

“Pada mesyuarat perhubungan Umno negeri, Khamis lalu kita menasihati Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang, Tan Sri Mohd Isa Samad, supaya mendengar pandangan dan nasihat Timbalan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya menyenaraikan sekurang-kurangnya tiga nama.

“Ini adalah kebiasaan yang kita lakukan dalam menghantar nama calon yang akan bertanding pada pilihan raya umum ataupun kecil supaya mudah analisa calon dibuat sebelum diputuskan nama yang akan bertanding,”' katanya di sini, semalam.

Mohamad yang juga Menteri Besar berkata, jawatankuasa bahagian itu perlu akur dengan permintaan dan nasihat Muhyiddin supaya senarai itu dapat dikemukakan dengan menamakan tiga individu yang mereka cadangkan.

“Berilah peluang pucuk pimpinan membuat penelitian calon yang disenaraikan,”' katanya.

Kelmarin, Ketua Pemuda bahagian itu, Mohd Faizal Ramli mengesahkan Umno bahagian hanya mencalonkan

Mohd Isa untuk dicalonkan bertanding mewakili BN pada pilihan raya kecil kerusi berkenaan.

Beliau yang juga Timbalan Pengarah Pilihan Raya Kecil DUN berkenaan berkata, pencalonan Mohd Isa mendapat sokongan sebulat suara 33 ahli jawatankuasa (AJK) bahagian yang menghadiri mesyuarat bahagian itu, Khamis lalu.

Tiada ulasan: