Sabtu, 5 September 2009

236 kes positif H1N1

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Jumlah pesakit positif selesema babi atau influenza A (H1N1) kini meningkat 236 orang termasuk 10 kes yang merupakan kemasukan baru dalam tempoh 24 jam berbanding 230 kes semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak 49 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Menurutnya, seramai 33 pesakit yang dimasukkan ke dalam ICU disahkan mempunyai faktor risiko seperti penyakit asma, jantung, diabetes, buah pinggang, hamil, obesiti dan termasuk kanak-kanak serta bayi.

''Bagaimanapun tiada kematian baru yang disahkan akibat jangkitan H1N1 didaftarkan pada hari ini dengan jumlah kematian masih kekal pada 73 orang,'' katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Mohd. Ismail berkata, kementerian hari ini menerima seramai 68 pesakit baru dengan gejala penyakit seperti influenza (ILI) dan telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan serta sebanyak 108 lagi pesakit telah dibenarkan keluar.

''Setakat ini jumlah keseluruhan pesakit ILI yang masih dirawat di 108 hospital termasuk 12 hospital swasta di seluruh negara ialah sebanyak 1,176," kata beliau.

Dalam hubungan yang sama, Mohd. Ismail sekali lagi memaklumkan kepada orang ramai bahawa vaksin bagi mencegah penyakit wabak tersebut masih belum berada dalam pasaran.

Menurutnya, vaksin berkenaan masih di peringkat ujian klinikal.

Tiada ulasan: