Sabtu, 5 September 2009

191 bahagian Umno mahu pilih pucuk pimpinan parti

Oleh Faiza Zainudin dan Sharifah Norfaezah Wan Ahmad Makki Manshor


KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan Umno menerima maklum balas daripada 191 bahagian yang mahu antara 60,000 hingga 650,000 perwakilan diberi peluang memilih pucuk pimpinan parti pada Perhimpunan Agung Umno yang dijangka pada Oktober depan.

Naib Presiden Umno yang juga Pengerusi Jawatankuasa, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata perkara itu antara lima cadangan utama yang dibentangkan pada mesyuarat pengurusan minggu depan sebelum dikemukakan ke peringkat jemaah tertinggi, 11 September ini.

Katanya, empat cadangan lain turut diteliti untuk pindaan ialah usaha memudahkan ahli bertanding, menjadikan Umno parti yang inklusif, mengurangkan tempoh masa berkempen dan memudahkan proses menjadi ahli.

“Pada masa sama, kita bersedia mempertimbangkan cadangan lain bagi membantu memperkasa parti supaya sentiasa relevan dengan aspirasi rakyat selain dapat membanteras gejala rasuah politik,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu di Ibu Pejabat Umno di sini, semalam.

Turut hadir, Setiausaha Kerja jawatankuasa berkenaan, Datuk Abdul Rauf Jusof.

Ditanya pindaan menghapuskan sistem kuota, Hishammuddin berkata, ia bukan saja dapat memudahkan lebih ramai ahli bertanding malah membantu memastikan hanya ahli yang komited dan ikhlas saja dipilih menjadi pemimpin.

Mengenai Umno Bahagian Bukit Mertajam yang menolak cadangan pindaan perlembagaan parti kerana ia dikatakan dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa, Hishammuddin berkata isu itu tidak timbul kerana pihaknya sudah mengarahkan Abdul Rauf memberi taklimat kepada ketua bahagian berkenaan, Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir.

Berhubung tindakan yang diambil kepada pihak yang menyertai perarakan kepala lembu di Shah Alam, baru-baru ini, Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata tindakan tegas akan diambil tanpa ‘mengira bulu’ bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terpelihara.

Ditanya cadangan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin supaya perintah penahanan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dikaji oleh mahkamah atau satu badan berkecuali bukannya Menteri Dalam Negeri seperti sekarang, Hishammuddin berkata pihaknya menerima cadangan berkenaan dengan sikap terbuka.

Tiada ulasan: