Khamis, 17 September 2009

13 lagi maut hari ketiga Ops Sikap

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Sebanyak 13 lagi kematian dicatatkan di seluruh negara pada hari ketiga Ops Sikap Ke-20 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, semalam.

Angka kematian ini menjadikan jumlah mereka yang maut sepanjang tiga hari operasi itu meningkat kepada 32 orang.

Daripada jumlah itu, penunggang motosikal mencatatkan jumlah kematian yang tinggi iaitu lapan orang, diikuti dua pengguna kereta manakala pengguna teksi, lori dan basikal masing-masing mencatatkan satu kematian.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, sepanjang tempoh semalam, sebanyak 1,245 kemalangan dan 14,440 saman dikeluarkan di seluruh negara.

Kadar kemalangan itu mencatatkan peningkatan berbanding hari pertama dan kedua operasi itu dijalankan iaitu masing-masing sebanyak 874 kes dan 1,182.

"Daripada jumlah itu, jalan bandaran merekodkan kes kemalangan paling banyak iaitu 566 kes, diikuti jalan Persekutuan sebanyak 287 kes, jalan negeri (198), lebuh raya (123) dan lain-lain jalan (71)," kata kenyataan itu.

Ops Sikap Ke-20 bermula Ahad lalu sehingga 27 September depan bagi memastikan kelancaran trafik sempena Aidilfitri kali ini.

Seramai 2,000 pegawai dan anggota polis terlibat dalam operasi kali ini untuk mengawasi lebih 300 kawasan jalan yang dikenal pasti kawasan tumpuan kemalangan jalan raya.

Sebanyak 4,824 notis POL257 yang ditandatangani sendiri oleh pesalah di tempat kejadian dikeluarkan kepada pengguna jalan raya semalam.

Bagi notis POL170A pula, seramai 9,616 pesalah dan notis diposkan kepada pengguna tetapi mereka hanya akan menikmati pengurangan 30 peratus apabila membuat pembayaran.

Tiada ulasan: