Sabtu, 15 Ogos 2009

Zon panas H1N1 mungkin diumum

SINAR HARIAN ONLINE


PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, berdasarkan panduan yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), negara kita sudah berada pada tahap ‘perlu tangani’ wabak Influenza A (H1N1) atau selesema babi dan bukan lagi peringkat awal penularan.

Menurutnya, cadangan beberapa pihak yang mahukan kerajaan mengumumkan lokasi atau ‘zon panas’ yang paling banyak mencatatkan kes H1N1 akan diteliti sama ada cadangan itu membantu atau tidak.

“Mengenai cadangan ini, saya akan bertemu dengan Menteri Kesihatan untuk berbincang sama ada wajar perkara ini dilakukan, jika perlu kita buat, kita akan umumkan sepertimana kita umumkan kawasan jerebu, contohnya ada kawasan sihat ataupun kurang sihat.

“Jerebu boleh dilihat, tetapi virus H1N1 kita tidak boleh lihat dari mata kasar, kita tidak tahu virus tersebut berada dan mungkin berada di mana-mana, jadi kita kena berhati-hati,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Pencegahan Jenayah Bertemakan ‘Kami Pilih Gaya Hidup Bebas Jenayah’.

Muhyiddin berkata, kerajaan tidak pernah berniat menyembunyikan fakta atau maklumat sebenar mengenai wabak H1N1 kerana rakyat berhak mengetahuinya malah situasi terkini sentiasa diberikan kepada orang awam melalui media.

“Wabak H1N1 negara kita sudah berada pada tahap yang boleh disifatkan membimbangkan, tapi kita mengambil langkah sewajarnya dari segi soal maklumat terkini, kita tidak boleh berselindung kepada rakyat,” katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai simptom jangkitan H1N1 supaya segera mendapatkan rawatan di hospital berdekatan.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh turut menjelaskan antara pencegahan yang dilakukan oleh kerajaan seperti mengedarkan vaksin Tamil flu kesemua hospital dan klinik-klinik swasta seluruh negara.

Tiada ulasan: