Ahad, 2 Ogos 2009

Wajib Pemaju Tunjuk Arah Kiblat

TV SELANGOR


Menteri besar Selangor hari ini mencadangkan agar pihak berkuasa tempatan (PBT) di negerinya memastikan pemaju menetapkan arah kiblat sebagai syarat tambahan bagi kelulusan pelan projek.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pemaju perlu mendapatkan maklumat awal daripada Jabatan Mufti bagi memastikan kedudukan arah kiblat di kawasan pelan projek yang dibangunkan, lapor Bernama.

"Saya berharap melalui syarat ini semua pihak akan lebih prihatin dengan kedudukan kiblat yang menjadi perkara penting dalam ibadah umat Islam," beliau dipetik berkata ketika merasmikan Konvensyen Falak Selangor 2009 kali kelima di Shah Alam.

Tambahnya, pemaju juga diminta mendirikan replika petunjuk arah kiblat di taman-taman perumahan yang baru dibuka sebagai panduan kepada penduduk setempat.

Selain itu, beliau berkata petunjuk arah kiblat yang betul perlu diwujudkan di ruang solat setiap rumah, pejabat, premis perniagaan, hotel dan kawasan rehat di negeri itu.

Abdul Khalid berkata, masjid dan surau yang hendak dibina di negeri itu juga diminta mendapatkan nasihat Jabatan Mufti bagi memastikan kiblat yang betul.

"Terdapat beberapa kes yang arah kiblat di atas pelan tidak tepat dengan kedudukan sebenar di tapak pembinaan, jadi kita tidak mahu surau atau masjid yang dibina dengan nilai jutaan ringgit tetapi tidak tepat kedudukan kiblatnya," katanya.

Tiada ulasan: