Jumaat, 28 Ogos 2009

‘Wajarkah saya dipecat’

Oleh SAIFUL HAIZAN HASAM


# DATUK Seri Dr. Chua Soi Lek menyifatkan kedudukannya kini lebih teruk jika dibandingkan dengan keadaan sewaktu beliau melepaskan semua jawatan dalam kerajaan dan parti pada awal tahun lalu.

# Bekas Timbalan Presiden MCA itu berkata, walaupun sudah melepaskan semua jawatannya pada 2 Januari tahun lalu, namun beliau pada masa itu masih seorang ahli parti.

# ‘‘Namun hari ini, saya tidak lagi mempunyai parti. Jadi kedudukan saya hari ini lebih teruk berbanding sewaktu saya meletakkan jawatan,’’

kata Soi Lek.

# Veteran MCA, Tan Sri Michael Chen Wing Sum mempersoalkan kenapa tindakan ke atas Soi Lek baru diambil sedangkan skandal seks Soi Lek telah berlalu hampir dua tahun lalu.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek menyifatkan kedudukannya hari ini lebih teruk jika dibandingkan dengan keadaan beliau sewaktu melepaskan semua jawatan dalam kerajaan dan parti awal tahun lalu.

Bekas Timbalan Presiden MCA itu berkata, sekurang-kurangnya sesudah melepaskan semua jawatan pada 2 Januari tahun lalu, beliau pada masa itu masih seorang ahli parti.

“Saya berkhidmat kepada MCA sebagai Pengerusi Bahagian sejak 1985. Pada 2 Januari 2008 sewaktu meletakkan semua jawatan dalam parti, saya masih seorang ahli MCA.

“Namun hari ini, saya tidak lagi mempunyai parti. Jadi, kedudukan saya hari ini lebih teruk berbanding sewaktu saya meletakkan jawatan,” katanya dalam laman blog beliau yang boleh diakses di http://drchua9.blogspot.com.

Majlis Presiden MCA malam tadi menerima cadangan Jawatankuasa Disiplin untuk memecat Soi Lek berkuat kuasa serta merta berikutan penyebaran video skandal seks membabitkannya pada penghujung 2007.

Berikutan skandal berkenaan, Soi Lek pada 2 Januari tahun lalu melepaskan semua jawatan parti dan kerajaan.

Bagaimanapun bekas Menteri Kesihatan itu membuat kejutan apabila memenangi jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti Oktober lalu.

Sementara itu, Soi Lek turut mempersoalkan sama ada pemecatan beliau malam tadi akan memulihkan imej MCA.

Katanya, beliau juga tidak menyedari Jawatankuasa Disiplin MCA yang diketuai seorang peguam yang meningkat tua (Datuk Ng Cheng Kiat) layak mencadangkan penyingkirannya selepas 21 bulan beliau meletak jawatan di atas sebab yang sama.

Dengan nada sinis Soi Lek berkata, sekiranya ada peruntukan untuk membolehkan beliau dijatuhkan hukuman mati, sudah tentu jawatankuasa itu tidak teragak-agak untuk mencadangkan beliau dihadapkan ke tali gantung.

“Alasannya amat ketara kenapa saya perlu dipecat. Bagaimanapun adakah pemecatan saya akan memulihkan imej MCA?

“Saya perlu membuat andaian bahawa Presiden masa ini (Datuk Seri Ong Tee Keat) sesuci dan sejernih kristal. Hanya masa yang akan menentukannya,” tegas beliau.

Menyedari ramai yang ingin mengetahui aktivitinya selepas ini, Soi Lek memberitahu beliau akan memenuhi masanya selaras dengan status tidak berparti, mungkin dengan membaca semua kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterima tanpa henti sejak malam tadi.

Jelasnya, wartawan juga tidak putus-putus ‘mengganggu’ namun beliau menganggapnya sebagai pengalaman yang melucukan dan menyeronokkan.

“Keluarga dan sahabat saya akan mengambil cuti pendek, saya perlu menikmati status tidak berparti ini, berilah saya peluang untuk berehat.

“Orang lain mungkin berkata saya akan bekerja keras tapi sebagaimana kebiasaan saya menghadapinya dengan tenang, semoga saya dipanjangkan umur untuk menyaksikan satu lagi hari lain dan ‘pertarungan’ lain,” katanya.

Tiada ulasan: