Khamis, 27 Ogos 2009

Umno sedia terima kembali

MYMETRO


SIK: “Umno bersedia menerima beliau (Mohammad Radzhi Salleh) sekiranya ingin kembali ke pangkuan parti ini dan berjuang bersama-sama demi rakyat dan menunai Tanggungjawab yang diamanahkan kepada beliau sebagai wakil rakyat di Lunas,” kata Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kedah, Datuk Paduka Ahmad Bashah Hanifah.

Beliau berkata, Umno tidak ada halangan untuk sesiapa menyertai parti itu dengan impian sama untuk memajukan negara dan mensejahterakan rakyat.

“Kita tidak memaksa beliau (Mohammad Radzhi) tetapi sekiranya beliau dengan hati terbuka mahu menyertai Umno, kita tidak ada halangan menerimanya demi kebaikan parti dan rakyat yang mengharapkan pembelaan dari segi kemajuan, kebajikan dan pembangunan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan kepada mangsa ribut di Kampung Batu Seketul, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lunas, Mohamad Radzhi yang meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan tidak lagi berminat dengan perjuangan dalam Pakatan Rakyat (PR) kerana didakwa tidak mampu membela nasib rakyat.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Belantik, Mohd Tajuddin Abdullah; Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Kedah, Zulkiply Ramli; Pengurus Bahagian Modal Insan Dan Pembasmian Kemiskinan Kedah, Arifuddin Habib; Ketua Pemuda Umno Sik, Mahadzir Abd Hamid dan Ketua Puteri Kedah, Norashimah Md Nowar.

Tiada ulasan: