Isnin, 3 Ogos 2009

Umno mahu guna pendekatan di Manek Urai

BERITA HARIAN ONLINE


BUTTERWORTH: Umno bercadang menggunakan sebahagian pendekatan pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, Kelantan bulan lalu pada pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir.

Pada pilihan raya kecil Manek Urai yang juga kubu kuat Pas, Barisan Nasional (BN) yang meletakkan Tuan Aziz Tuan Mat hanya tewas dengan majoriti 65 undi kepada calon Pas, Mohd Fauzi Abdullah.

Antara pendekatan digunakan BN ketika itu adalah kempen secara mesra rakyat iaitu dari rumah ke rumah dan warung ke warung bagi menyelami isi hati serta masalah dihadapi penduduk.

Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan, berkata pihaknya kini sedang mengkaji strategi sesuai dan tidak menolak menggunakan bentuk kempen seperti di Manek Urai.

"Apa yang positif kita ambil. Bagaimanapun, ia akan memperhalusi dulu sebelum melaksanakan pendekatan yang dirasakan mampu merampas kerusi di kubu kuat Pas itu," katanya selepas merasmikan Persidangan Umno bahagian Bagan di sini, semalam.

Ahmad berkata, pihaknya akan melancarkan jentera penerangan dalam tempoh terdekat.

Sementara itu di BALING, Umno Pulau Pinang sudah mengenal pasti lima nama yang disenarai pendek untuk dipilih sebagai calon BN yang akan bertanding pada pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir tidak lama lagi.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang yang juga Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata lima calon disenarai pendek itu ialah daripada 20 nama diterima untuk dipertimbangkan sebagai calon BN.

Katanya, beliau akan menyelidik latar belakang mereka terlebih dulu sebelum nama calon yang sesuai dikemukakan kepada pucuk pimpinan Umno dan BN dalam tempoh terdekat.

"Proses pemilihan calon akan melalui tapisan ketat dan calon dipilih juga mesti mendapat restu semua pihak," katanya selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno bahagian Baling di sini, semalam.

Tiada ulasan: