Isnin, 10 Ogos 2009

Umno Johor Bahru cabar Anwar saman

Oleh Johan Afandi


JOHOR BAHRU: Seramai 398 perwakilan mesyuarat Umno bahagian Johor Bahru semalam, mencabar Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menyaman mereka selepas melaungkan serentak ‘Anwar Ibrahim pengkhianat bangsa’.

Laungan sebulat suara itu dilakukan perwakilan dari 84 cawangan yang bersidang ketika Ketua Umno bahagian berkenaan, Datuk Shahrir Samad berucap sebagai tanda sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyifatkan Anwar sebagai pengkhianat bangsa

Shahrir dalam ucapannya berkata, Umno Johor Bahru bersama Timbalan Presiden parti, dalam menyuarakan pandangan terbuku di hati semua ahli Umno Johor Bahru selama ini.

“Mari kita bangun melaungkan ‘Anwar Ibrahim pengkhianat bangsa’ supaya dia boleh turut mengambil tindakan undang-undang menyaman kita, Umno Johor Bahru sanggup menghadapi tindakan itu,” katanya ketika merasmikan mesyuarat yang di Hotel New York, di sini.

Serentak dengan ucapan Shahrir itu, semua 398 perwakilan Umno Johor Bahru bangun dan melaungkan ‘Anwar Ibrahim pengkhianat bangsa’.

Shahrir berkata, laungan dan desakan itu adalah suara hati Umno Johor Bahru dan mereka tidak gentar menghadapi Anwar yang kini, sudah terpesong daripada semangat perjuangan orang Melayu.

Katanya, beliau percaya semua ahli Umno akan bersama Muhyiddin menghadapi tindakan undang-undang dan tidak gentar bagi menghadapinya.

“Kita tunjukkan pada pembangkang ahli Umno sanggup menghadapi mereka yang dilihat sewenang-wenang melemparkan tuduhan dan fitnah kepada pemimpin dan ahli parti,” katanya.

Tiada ulasan: